GSF 2.0: Lima fasa dirangka pastikan bantuan tiba ke Gaza

GSF 2.0:  Lima fasa dirangka pastikan bantuan tiba ke Gaza

rnoraina@hmetro.com.my

Sepang: Lima fasa tindakan dirangka dalam Misi Kemanusiaan 30 kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bagi memastikan bantuan tiba ke Gaza.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Datuk Dr Ahmad Sani Abdul Alim Araby berkata, fasa pertama membabitkan misi bantuan kecemasan melalui darat iaitu penghantaran 30 kontena bantuan kritikal dari Malaysia.

Menurutnya, bantuan itu akan dibawa masuk secara terus melalui laluan darat ke Gaza dengan bantuan diplomatik antara kerajaan Malaysia bersama Mesir.

“Fasa kedua adalah sidang media di pintu Rafah sebagai satu kenyataan tegas berhubung pendirian Malaysia sebagai mesej diplomatik kepada dunia yang akan dibuat secara langsung.

“Fasa berikutnya adalah memulakan pelayaran membabitkan armada 70 kapal yang kini sudah bersiap sedia. Jumlah ini dijangka terus bertambah seiring dengan peningkatan sokongan antarabangsa,” katanya dalam sidang media pelancaran misi berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, hari ini.

Misi dilancarkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mengetuai misi terbabit.

Mengulas lanjut, Ahmad Sani berkata, fasa dirangka turut membabitkan kehadiran dalam persidangan parlimen antarabangsa di Brussels pada penghujung bulan ini bagi membina tekanan politik di peringkat Eropah.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) yang juga Ketua Pengarah misi dan Pengasas Bersama Sumud Nusantara itu berkata, pihaknya juga akan memulakan langkah perundangan dengan memfailkan petisyen aduan rasmi di pejabat Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi menuntut keadilan terhadap isu Palestin dan jenayah penculikan GSF 2025 di perairan antarabangsa.

“Malaysia sekali lagi menzahirkan keberanian dan komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi penaung utama keseluruhan usaha bersama sokongan langsung kerajaan.

“Ini menjadikan Malaysia negara pertama yang hadir secara kolektif rasmi sebuah negara yang menyokong usaha ini,” katanya.

Katanya, setakat ini seramai 1,000 peserta sudah mengesahkan penyertaan dan delegasi kali ini merangkumi penganjur, kru kapal, kapten, pasukan perubatan serta pengamal media yang akan memberikan laporan telus mengenai situasi sebenar di lapangan.

Misi bersepadu ini turut membabitkan sokongan langsung daripada beberapa menteri dan agensi lain.

“Kami mengajak seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira perbezaan bangsa, agama

mahupun latar belakang politik untuk bersatu membela Palestin.

“Kempen ini bukan sekadar penghantaran bantuan, tetapi merupakan bukti bahawa solidariti tanpa sempadan mampu menggerakkan dunia untuk menolak sebarang bentuk kezaliman,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top