La Liga kesal tindakan penyokong Sevilla ugut pemain sendiri

La Liga kesal tindakan penyokong Sevilla ugut pemain sendiri

Madrid: La Liga mengecam tindakan ugutan dan provokasi oleh penyokong Sevilla FC terhadap pemain dan pihak pengurusan mereka sendiri selepas pasukan itu mengalami kekalahan ketiga berturut-turut dalam liga.

Sevilla yang kini berada di tangga ke-17 liga utama Sepanyol tewas 0-1 di tempat lawan kepada pasukan tercorot Real Oviedo semalam.

Beberapa penyokong menunggu ketibaan pasukan di lapangan terbang untuk menghina mereka, manakala sekumpulan lain yang memakai topeng turut berada di pusat latihan kelab.

La Liga dalam satu kenyataan menyatakan bahawa tingkah laku tersebut telah melampaui batas kritikan yang sah dan ekspresi sukan.

Awal musim ini, segelintir penyokong Sevilla juga cuba menceroboh pusat latihan untuk bersemuka dengan pemain.

La Liga menegaskan mereka akan melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa Sepanyol dan akan terus mengambil tindakan terhadap kejadian seumpamanya pada masa depan.

“Sesiapa yang melampaui batas daripada kritikan kepada ugutan, intimidasi atau gangguan bukan lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi sebagai individu yang ganas,” kata La Liga. “Dan terhadap individu ganas, La Liga akan bertindak dan terus bertindak.”

Sevilla yang tidak menang dalam lima perlawanan terakhir, kini hanya dua mata di atas zon penyingkiran dengan baki lapan perlawanan musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top