TNB Thunderstars sasar kejayaan berganda

TNB Thunderstars sasar kejayaan berganda
TNB Thunderstars sasar kejayaan berganda

Shamsul (tujuh dari kiri) bersama Datuk Ir Azmi Md Yusof (enam dari kiri) serta barisan pengurusan tertinggi TNB menerima jersi rasmi baharu TNB ThunderStars daripada ketua pasukan, Nik Muhammad Aiman bin Nik Rozemi sebagai simbolik pelancaran identiti baharu dan penyertaan pasukan itu dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026. FOTO: TNB

GERGASI hoki tanah air, Tenaga Nasional Berhad (TNB) meletakkan sasaran untuk merangkul kejuaraan berganda bagi saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 menerusi identiti baharu pasukan utamanya, TNB Thunderstars.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TNB, Datuk Ir Shamsul Ahmad berkata, pasukan mampu mengulangi pencapaian gemilang yang pernah diraih pada tahun 2024.

“Kami optimis untuk memberikan cabaran sengit dalam saingan liga dan Piala TNB. Tidak mustahil untuk mengulangi kejayaan berganda seperti yang dikecapi pada 2024.

“Dalam masa sama, TNB akan meneruskan peranan sebagai peneraju utama sukan hoki negara melalui pembangunan bakat muda yang mampan,” katanya pada majlis pelancaran barisan pemain, jersi rasmi serta penjenamaan semula pasukan pada Ahad.

Untuk rekod, TNB merupakan antara pasukan paling konsisten apabila telah beraksi dalam saingan MHL sejak 1987 tanpa terlepas satu musim pun.

Bagi musim 2026, TNB mempertaruhkan dua pasukan iaitu TNB Thunderstars sebagai pasukan utama, manakala TNB Thunderbolts bertindak sebagai skuad pembangunan.

Pemilihan pemain bagi skuad Thunderstars merangkumi gabungan pemain elit dan bakat terbaik yang digilap melalui program pembangunan Thunderbolts yang diperkenalkan sejak 2008.

Keberkesanan sistem pembangunan itu terbukti apabila tiga pemain muda daripada program berkenaan diserapkan ke dalam skuad utama bagi musim ini.

Mengulas mengenai identiti baharu, Shamsul berkata, pelancaran TNB Thunderstars menandakan evolusi penjenamaan hoki TNB bagi membezakan pasukan elit daripada skuad pembangunan, sekali gus memperkukuh struktur pasukan itu.

TNB Thunderstars akan membuka tirai kempen menentang seteru utama, Terengganu Hockey Team (THT) pada 11 April ini dalam aksi Piala Sumbangsih.

Sementara itu, skuad pembangunan TNB Thunderbolts dijadualkan berdepan UiTM HA-KPT bagi perlawanan pembukaan liga.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran jersi rasmi baharu kedua-dua pasukan yang menampilkan reka bentuk moden, dinamik dan kompetitif selari dengan aspirasi kelab bagi menghadapi cabaran musim baharu.

Scroll to Top