am@hmetro.com.my
Kota Belud: Dua lelaki yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan penyalahgunaan dadah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan urusan permohonan Kad Pemastautin Tetap (MyPR) di daerah ini.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan, hari ini, susulan laporan seorang wanita yang mendakwa kerugian RM6,000 selepas membuat bayaran bagi menguruskan permohonan MyPR.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Khairul Shah Peri berkata, hasil serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Katanya, antara yang dirampas termasuk sebuah kereta, kad pengenalan, kad MyPR, telefon bimbit, komputer riba, cop serta pelbagai peralatan dan dokumen berkaitan.
“Soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek disyaki terbabit dalam penghasilan kira-kira 14 keping kad MyPR palsu yang dikaitkan dengan daerah Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabalu.
“Semakan lanjut turut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes penipuan dan penyalahgunaan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Khairul Shah berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kemungkinan terdapat mangsa lain yang turut diperdaya oleh suspek.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




