[KEMAS KINI] SUNWAY Bhd gagal dalam usaha pengambilalihan IJM Corp Bhd selepas hanya berjaya memperoleh 1.17 bilion saham IJM, mewakili 33.43 peratus daripada jumlah keseluruhan saham berhak mengundi.
IJM Corporation Berhad mengesahkan bahawa tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad itu telah luput selepas tempoh penerimaan berakhir petang tadi, berikutan syarat penerimaan tidak dipenuhi.
Tawaran yang diumumkan pada 12 Januari 2026 pada harga RM3.15 sesaham itu gagal mencapai tahap penerimaan diperlukan, iaitu lebih daripada 50 peratus saham dengan hak undian IJM.
IJM dalam kenyataan berkata, semua saham yang ditawarkan di bawah tawaran tersebut akan dipulangkan kepada pemegang saham masing-masing mengikut terma yang ditetapkan.
Lembaga Pengarah berdasarkan penilaian Penasihat Bebas sebelum ini, telah memutuskan bahawa tawaran berkenaan tidak adil dan tidak munasabah, serta mengesyorkan pemegang saham untuk menolaknya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai berkata, dengan tamatnya tawaran ini, IJM akan terus melangkah ke hadapan dengan tekad, melaksanakan strategi yang dipertingkatkan bagi menjana nilai daripada portfolio merentasi perniagaan teras Kumpulan.
“Keutamaan kami kini kekal pada pelaksanaan serta membuka potensi nilai portfolio yang telah dibina.
“IJM sentiasa dan kekal sebagai syarikat yang kukuh dari segi asas, dengan strategi yang jelas serta saluran projek yang berdaya tahan. Pemegang saham telah membuat keputusan mereka, dan kami menghormati keyakinan yang diberikan terhadap nilai intrinsik jangka panjang IJM,” katanya.
Katanya, IJM turut mengiktiraf minat yang ditunjukkan oleh komuniti pelaburan terhadap cadangan ini dan merakamkan penghargaan kepada para pemegang saham atas penglibatan berterusan serta penilaian teliti terhadap tawaran tersebut.
Melangkah ke hadapan, beliau berkata, IJM yakin untuk mencapai keutamaan strategiknya merentasi buku pesanan pembinaan, saluran pembangunan hartanah, portfolio konsesi infrastruktur serta pengembangan luar negara yang sedang berjalan.
“Disokong oleh buku pesanan berjumlah RM17.3 bilion dan rekod prestasi kukuh dalam memajukan infrastruktur negara serta memacu pembangunan ekonomi, syarikat berada pada kedudukan baik untuk meraih sumbangan pendapatan berterusan daripada aset yang sedang melalui fasa pembangunan dan operasi.
“Trajektori pertumbuhan ini turut diperkukuh oleh pelaburan hartanah strategik serta portfolio antarabangsa yang semakin berkembang,” katanya.
Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.
Pembayaran bagi cadangan pengambilalihan itu mahu diselesaikan melalui gabungan 10 peratus tunai dan 90 peratus menerusi penerbitan saham baharu Sunway pada harga terbitan RM5.65 sesaham.
Sementara itu, Sunway dalam kenyataannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, rakan kongsi, sahabat yang telah meluangkan masa untuk menilai tawaran ini dan yang terus meletakkan kepercayaan serta keyakinan kepada Sunway.
“Kami turut berterima kasih atas peluang untuk membentangkan tawaran kami secara jelas dan telus kepada pasaran. Kami menghargai semua pihak yang berinteraksi secara konstruktif dengan kami sepanjang proses ini.
“Tahap minat dan perbincangan mencerminkan kepentingan transaksi ini serta kekuatan pasaran modal Malaysia,” katanya.
Turut dilaporkan, pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Sunway sebelum ini, para pemegang saham menyatakan sokongan amat memberangsangkan terhadap cadangan ini dengan 99.27 peratus mengundi menyokong, mencerminkan keyakinan kukuh terhadap rasional strategik dan komersial tawaran tersebut.
“Sejak awal, cadangan kami dipandu oleh prinsip yang jelas dan konsisten bahawa kumpulan yang diperbesar ini akan mewujudkan nilai jangka panjang yang strategik serta mampan untuk semua pihak berkepentingan.
“Ia dirangka bagi membolehkan para pemegang saham mengambil bahagian dalam pertumbuhan masa depan sebuah entiti nasional yang lebih besar dan berdaya tahan, berteraskan asas kukuh serta rekod prestasi penyampaian yang terbukti.
“Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM serta hasil proses ini. Dalam mana-mana transaksi berskala besar seperti ini, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang lumrah dan kami mengiktiraf wacana awam yang menyeluruh yang mengiringi tawaran ini,” katanya.
Sunway akan kekal memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan strateginya serta terus menyampaikan nilai merentasi perniagaan bersepadunya.
“Kami akan terus membina kekuatan sedia ada, meneroka peluang dengan berdisiplin dan kekal komited untuk mewujudkan nilai jangka panjang bagi pihak berkepentingan, komuniti yang kami berkhidmat serta negara secara keseluruhan,” katanya



