Dua penuntut IPG lemas: Tangisan rakan, keluarga selubungi Jabatan Forensik HSB

Dua penuntut IPG lemas: Tangisan rakan, keluarga selubungi Jabatan Forensik HSB

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini apabila ahli keluarga dan rakan dua penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis yang lemas di perairan kawasan Pantai Merdeka, kelmarin gagal menahan perasaan sedih.

Tangisan dan esakan jelas kedengaran malah ada dalam kalangan mereka yang terpaksa ditenangkan oleh rakan-rakan lain kerana terlalu sedih dengan kejadian yang berlaku.

Lebih 100 orang termasuk rakan dari IPG Perlis termasuk pihak pengurusan serta ahli keluarga masih berada di Jabatan Forensik HSB setakat jam 10 malam ini.

Kedua-dua penuntut terbabit, Christopher Ling Jia Siang, 21 dan penuntut wanita, Joey Ling Lin Siang, 20, adalah penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (Pendidikan Jasmani) di IPG Perlis.

Turut berada di perkarangan Jabatan Forensik HSB, Pengarah Jabatan Pendidikan Kedah, Abdul Rahim Mat.

Jasad dua penuntut terbabit yang selesai proses bedah siasat hari ini dijangka dibawa pulang ke kampung halaman mereka masing-masing di Sibu dan Kuching, Sarawak, esok.

Media sebelum ini melaporkan, dua penuntut sebuah institut perguruan di utara tanah air ditemukan lemas selepas kayak yang dinaiki mereka dipukul ombak di kawasan Pantai Merdeka di sini, petang Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dipercayai pelajar lelaki dan perempuan berusia 20-an apabila kayak yang dinaiki mangsa terbalik dipukul ombak dan arus deras.

Mangsa ditemui tersangkut pada jaring nelayan tempatan dalam keadaan masih memakai jaket keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top