Weststar Aviation meterai pembiayaan RM2 bilion dengan Ambank pacu pengembangan operasi

Weststar Aviation meterai pembiayaan RM2 bilion dengan Ambank pacu pengembangan operasi

CABANG penerbangan Weststar, Weststar Aviation Services Sdn Bhd telah memeterai perjanjian pembiayaan bernilai RM2 bilion dengan AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) bagi mempercepat peluasan operasinya.

Pengarah Eksekutif Weststar Aviation Services, Syed Muhammad Azni Syed Azman berkata, pembiayaan itu merupakan sebahagian daripada kemudahan pembiayaan bersindiket bagi menyokong pengembangan armada syarikat, memperkukuh modal kerja serta memudahkan pengurusan keperluan pertukaran asing.

Beliau berkata, menerusi kerjasama itu, syarikat akan terus memperluas armada helikopternya, memperkukuh operasi serta menyokong industri yang kritikal kepada negara.

“Helikopter kami menyokong sektor minyak dan gas luar pesisir, pertahanan, tindak balas kecemasan serta pelbagai sektor lain yang menggerakkan Malaysia.

“Justeru, usaha ini bukan sekadar mengembangkan perniagaan, tetapi juga memperkukuh keupayaan kami untuk berkhidmat kepada negara,” katanya pada majlis menandatangani kemudahan pembiayaan antara Kumpulan AmBank dan Weststar Aviation Services pada Isnin.

Sehubungan itu, Muhammad Azni berkata, dengan pembiayaan yang diperoleh, syarikat menyasarkan untuk menggandakan jumlah pesawatnya kepada 64 pesawat daripada 32 dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Datuk Jamzidi Khalid berkata, pembiayaan RM2 bilion itu menandakan lembaran baharu dalam perjalanan Weststar.

Ia sekali gus membolehkannya mempercepat pengembangan armada, meningkatkan keupayaan operasi dan memperluas kehadirannya di peringkat serantau serta global.

“Kami berbangga dapat memainkan peranan sebagai rakan kewangan yang dipercayai dalam transformasi ini. Menerusi AmBank Islamic Berhad dan AmInvestment Bank Berhad, kami menggabungkan keupayaan penstrukturan yang kukuh serta kepakaran bagi menyediakan penyelesaian kewangan.

“Lebih penting, mandat ini membuka ruang kepada kerjasama yang lebih mendalam pada masa depan, termasuk potensi terbitan sukuk berskala besar dan peluang tawaran awam permulaan (IPO), ketika Weststar terus mengembangkan rangkaian kerjasama globalnya,” katanya.

Dokumen kemudahan pembiayaan itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Kewangan The Weststar Group, Datuk Mohd Wazeer Nawawi, Ketua Liputan Perbankan Borong Korporat Besar 5 AmBank, Datuk William Koh serta Ketua Pasaran Hutang AmInvestment Bank Berhad, Yeoh Teik Leng

Kumpulan AmBank telah menjalin kerjasama strategik yang kukuh dengan Weststar sepanjang 15 tahun lalu, tempoh yang menyaksikan pertumbuhan dan transformasi ketara bagi kedua-dua organisasi.

AmInvestment Bank bertindak sebagai penyelaras utama dan satu daripada pengatur utama mandat bersama, manakala AmBank Islamic merupakan antara pembiaya kemudahan tersebut.

Dalam kapasiti berkenaan, AmInvestment Bank memainkan peranan penting dalam menyelaras pembiayaan bersindiket, menstruktur kemudahan serta menyelaraskan institusi kewangan yang terlibat bagi memenuhi keperluan pembiayaan Weststar Aviation Services.- Bernama

Scroll to Top