norhayati_nordin@hmetro.com.my
Petaling Jaya : Penyanyi Ara Johari, 29, menyifatkan kemelut yang berlaku di media sosial membabitkan netizen dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang hangat ketika ini lebih ke arah tindakan individu sahaja.
Ara atau nama sebenar, Nurfarrah Izzatie Johari, berkata dia yang pernah bekerjasama dengan komposer dari negara jiran itu dalam penghasilan lagu memang mendapat pengalaman baik.
“Nak cakap fasal kemelut (di media sosial), bagi saya adalah individu itu sendiri. Macam Ara sendiri yang ada juga pengalaman bekerja dengan komposer Indonesia, itu profesional.
“Tetapi kalau ada yang kritik Malaysia, benda itu adalah individu sahaja. Mungkin ada orang (Indonesia) yang tidak sampai hati pun nak cakap sesuatu benda itu.
“Apapun, bagi saya untuk bekerja bersama komposer Indonesia ini, saya memang dapat pengalaman sangat baik. Tidak ada yang buruk,” katanya kepada Harian Metro.
Sebelum ini, Ara pernah bekerjasama dengan komposer Indonesia iaitu Ilham Baso untuk lagu popularnya, Menjaga Jodoh Orang Lain (MJOL) dan Terlalu Bodoh yang mengisahkan kegagalan dalam hubungan percintaan.
Ara bagaimanapun ditemui pada majlis pelancaran lagu baharunya, Kisah Yang Hampir Sempurna hasil ciptaan bersama komposer tempatan, Aepul Roza dan Daus Drama Band di Universal Music Malaysia di sini, petang tadi.
Pada masa sama, Ara turut membuat pengumuman istimewa mengenai dia bakal mengadakan Showcase Sedekad BersuAra Johari di Robert’s Theater, The Campus Ampang, pada 30 November depan.
Ara yang juga bekas bintang Akademi Fantasia (AF) 2016 memaklumkan dia tidak sangka sudah aktif dan bertahan dalam industri selama 10 tahun yang dirai pada Oktober ini serta kebanyakan lagunya dikenali pendengar.
“Harapan saya agar lagu baharu, Kisah Yang Hampir Sempurna akan diterima baik oleh pendengar. Saya masih setia memilih lagu galau mengenai percintaan yang putus di tengah jalan kerana dekat dengan kisah ramai orang.
“Hubungan percintaan yang tidak menjadi untuk pasangan boleh berlaku dalam banyak sebab. Jadi, untuk lagu Kisah Yang Hampir Sempurna ini memang kena akur bahawa tiada jodoh itu,” katanya.
Menurut Ara, dia seronok bekerjasama dengan Aepul dan Daus kerana mendapat peluang juga menulis lirik untuk lagu berkenaan yang disifatkan pengalaman baharu sangat menggembirakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




