Paris: Michelin menegaskan pihaknya sejak awal tidak pernah percaya dakwaan bahawa dominasi Aprilia pada pusingan MotoGP di Thailand dan Brazil berpunca daripada penggunaan binaan tayar alternatif.
Pada dua pusingan awal musim 2026 di Buriram dan Goiania, pengeluar tayar itu membawa binaan tayar lebih keras susulan faktor cuaca panas melampau di Thailand serta karakter litar Brazil yang lebih laju.
Dalam kedua-dua perlumbaan itu, Aprilia tampil cukup dominan apabila Marco Bezzecchi muncul pemenang selesa di Thailand sebelum sekali lagi mengungguli aksi di Brazil, malah mengetuai kemenangan 1-2 pasukan di depan Jorge Martin.
Kemampuan jentera RS-GP memanfaatkan tayar lebih keras itu kemudian disebut-sebut sebagai antara sebab utama Aprilia berjaya mengatasi pencabar lain di Thailand dan Brazil.
Namun, aksi di Grand Prix Amerika Syarikat di Austin yang kembali menggunakan binaan tayar standard seperti di kebanyakan litar musim ini dilihat menolak teori berkenaan.
Ducati yang dijangka kembali mencabar dengan tayar standard gagal menaiki podium, sebaliknya Bezzecchi sekali lagi mengetuai kemenangan 1-2 Aprilia di depan Martin di COTA, selain menghadiahkan kemenangan sulung sprint musim ini buat pasukan itu.
Bos Michelin MotoGP, Piero Taramasso berkata, dia tidak pernah bersetuju dengan tanggapan bahawa tayar lebih keras menjadi faktor utama kelebihan Aprilia.
“Saya sentiasa fikir ia bukan berpunca daripada itu kerana kami sudah menawarkan binaan tayar paling keras ini sejak beberapa musim lalu.
“Jadi, semua pasukan sudah tahu bagaimana untuk mentafsirkannya dan bagaimana untuk melakukan talaan jentera. Malah pelumba juga sudah biasa dengannya. Ketika ini, Aprilia memang ada sesuatu yang lebih dari segi jentera,” katanya kepada Motorsport edisi Itali.
Binaan tayar lebih keras itu biasanya digunakan di Red Bull Ring, Mandalika, Buriram dan Goiania bagi menampung tekanan haba yang tinggi.
Dalam tempoh setahun lalu, tayar berkenaan memberi kesan berbeza kepada Ducati apabila mereka tampil cemerlang di Red Bull Ring dan turut dominan di Buriram musim lalu.
Bagaimanapun, Ducati mengalami kesukaran di Mandalika tahun lalu menggunakan tayar itu, walaupun GP24 masih mampu mendominasi menerusi Fermin Aldeguer.
© New Straits Times Press (M) Bhd




