Perdaya 2 remaja menerusi media sosial, sebelum rompak dan bunuh

Perdaya 2 remaja menerusi media sosial, sebelum rompak dan bunuh

New York: Seorang wanita dari Texas didakwa memperdaya dua remaja menerusi Instagram sehingga membawa kepada kematian, empat tahun lalu hasil bantuan seorang pemberi maklumat sulit, menurut polis.

Portal New York Post melaporkan Angie Morales, 21, ditahan oleh polis San Antonio pada Isnin atas tuduhan membunuh Gregorio Ricardo Cordova-Mejia, 19, dan rakannya Angel Ray Garcia, 15, pada 2022, menurut rekod mahkamah.

Morales, yang ketika itu berusia 17 tahun, didakwa menggunakan Instagram untuk menghantar mesej kepada kedua-dua remaja itu.

Dia mengajak kedua-dua remaja itu ke sebuah kompleks pangsapuri dengan beberapa individu yang bekerjasama dengannya merompak dan menembak mati mereka, lapor KSAT.

Penahanannya dibuat hanya beberapa minggu selepas ibu kepada kedua-dua mangsa membuat rayuan terbuka meminta bantuan untuk menahan individu bertanggungjawab atas kematian anak mereka selepas hampir empat tahun menunggu.

Keluarga mangsa memaklumkan mereka menghabiskan beberapa tahun kebelakangan ini dengan membayar papan iklan bagi menarik perhatian orang ramai terhadap kes itu dengan harapan ada petunjuk baharu muncul.

Jabatan Polis San Antonio (SAPD) memaklumkan pihaknya aktif menyiasat kes itu dan turut mengeluarkan notis menerusi Crime Stoppers bagi meminta bantuan orang ramai.

Morales akhirnya ditahan selepas polis memaklumkan mereka menerima maklumat daripada seorang pemberi maklumat sulit mengenai pembabitan dalam kes itu.

Pemeriksaan terhadap telefon Cordova-Mejia mendapati dia berhubung dengan Morales di Instagram hanya beberapa minit sebelum kematiannya pada 29 Julai 2022.

Mesej berkenaan menunjukkan Morales meminta Cordova-Mejia menemuinya di kompleks pangsapuri itu sambil memberitahu dia dalam perjalanan dan meminta remaja itu menunggunya.

Bunyi tembakan kedengaran sebelum jam 3 pagi dengan pegawai polis menemui mayat Cordova-Mejia dan Garcia di bangunan kompleks itu, menurut polis.

Rekod panggilan menunjukkan telefon Morales aktif di kawasan itu ketika pembunuhan berlaku, menurut rekod mahkamah Daerah Bexar.

Morales yang menafikan pembabitannya dalam insiden itu didakwa atas tuduhan membunuh lebih daripada seorang individu, dengan jaminan ditetapkan sebanyak AS$250,000 (RM991,900).

Keterangan Gambar:

slug: lelaki

GREGORIO Ricardo dan Angel Ray Garcia maut selepas ditembak seorang wanita. FOTO Agensi.

slug: wanitaANGIE Morales, 21, ditahan dan didakwa atas pembunuhan dua remaja San Antonio yang ditemui mati ditembak pada 2022. FOTO Ihsan Bexar County Jail.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top