KUALA TERENGGANU: Nelayan bot Zon C2 di negeri ini berdepan dilema apabila tidak mampu turun ke laut susulan kenaikan harga diesel sehingga mencecah RM6.02 seliter ketika ini.
Jika tidak dapat ke laut, pendapatan mereka terjejas, namun terpaksa menanggung kos operasi besar sekiranya keluar menangkap ikan ekoran situasi berkenaan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Terengganu, Mat Yasim Mohammed berkata, kenaikan mendadak kos bahan api itu memberi tekanan besar kepada pengusaha bot sekali gus menjejaskan operasi harian mereka.
Katanya, nelayan Zon C2 sepatutnya sudah kembali aktif ke laut pada Mac lalu selepas musim monsun berakhir, namun terpaksa menangguhkan operasi akibat peningkatan kos yang tidak mampu ditanggung.
“Pengusaha bot nelayan Zon C2 ini memerlukan modal yang tinggi, sekurang-kurangnya RM300,000 bagi menampung pelbagai kos termasuk permit pekerja (awak-awak asing), visa serta bahan api.
“Dengan kenaikan harga diesel, ia memberi kesan besar kepada operasi. Bagi mengurangkan risiko kerugian, ramai mengambil keputusan tidak turun ke laut buat sementara waktu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Bot nelayan Zon C2 merujuk kepada vesel laut dalam bersaiz melebihi 70 GRT yang beroperasi di kawasan perairan pantai Timur Semenanjung Malaysia serta perairan Sabah dan Sarawak, iaitu pada jarak melebihi 30 batu nautika dari pantai.
Sehubungan itu, Mat Yasim menggesa kerajaan mengkaji semula mekanisme subsidi bahan api dengan memperluas bantuan kepada nelayan Zon C2, sebagaimana dinikmati nelayan Zon A, B dan C1.
Katanya, tanpa sokongan sewajarnya, golongan nelayan Zon C2 berisiko terus terjejas dan industri perikanan tempatan boleh menerima impak dalam jangka panjang. – UTUSAN




