‘Ketawa tanpa henti’ gagalkan cubaan rompakan

‘Ketawa tanpa henti’ gagalkan cubaan rompakan
‘Ketawa tanpa henti’ gagalkan cubaan rompakan

Rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kakitangan bar tersebut tidak mengendahkan ancaman perompak tersebut yang disangka ‘prank’. – Foto Agensi

MALAGA – Satu insiden cubaan rompakan tiba-tiba berubah menjadi babak komedi yang tidak disangka-sangka.

Kejadian itu berlaku di sebuah bar di Malaga, Sepanyol selepas staf di premis tersebut menyangka perompak bersenjata itu hanya bergurau.

“Pelaku menyerbu masuk ke La Barraca de le Abuela sambil membawa sebilah parang dan meminta wang daripada kakitangan.

“Tindakannya yang mahu merompak disambut gelak tawa para pelayan, malah salah seorang staf merampas senjata tersebut yang disangka palsu.

“Perompak itu cuba mengugut mereka, namun kesemua kakitangan kekal tenang dan saling berbalas gurauan kerana mereka percaya kejadian itu ialah ‘prank’,” menurut laporan media tempatan.

Perompak itu terpaksa meninggalkan bar tersebut dengan tangan kosong dan dalam keadaan keliru kerana ditertawakan tanpa henti.

Tidak lama selepas itu, staf bar berkenaan akhirnya menyedari ancaman itu benar-benar nyata setelah beberapa premis di kawasan di Las Lagunas tersebut menjadi sasarannya.

Kesemuanya berasa bernasib baik kerana ‘ketawa’ berjaya menyelamatkan mereka. – Agensi

Scroll to Top