Tokyo: Lima pekerja terjatuh selepas perancah runtuh di sebuah kilang keluli di Kawasaki, Wilayah Kanagawa, pada Isnin, menyebabkan tiga daripada mereka berada dalam keadaan kritikal, lapor Xinhua memetik media tempatan.
Menurut penyiar awam NHK, kemalangan itu berlaku sejurus sebelum 4.30 petang waktu tempatan di sebuah tapak pembinaan berhampiran laut di Bandar Kawasaki.
Struktur perancah setinggi kira-kira 40 meter itu runtuh, menyebabkan beberapa pekerja terjatuh dengan sesetengahnya terjatuh ke dalam laut.
Empat pekerja berjaya diselamatkan setakat ini, dengan tiga daripada mereka tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal, menurut laporan itu yang memetik pihak polis tempatan.
Seorang lagi pekerja masih belum ditemukan, manakala pihak polis dan anggota bomba sedang meneruskan usaha menyelamat serta menyiasat butiran lanjut mengenai kemalangan tersebut.
© New Straits Times Press (M) Bhd



