mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu masing-masing dua pensyarah, seorang pegawai syarikat berkaitan minyak serta seorang pengarah syarikat kejuruteraan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM5 juta.
Wang itu diterima daripada beberapa syarikat sebagai balasan membantu mendapatkan projek penyelidikan serta penyelewengan dana penyelidikan di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di utara tanah air.
Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an itu ditahan antara jam 2 hingga 5 petang hari ini ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
Kata sumber, selain tangkapan itu, SPRM turut membekukan sebanyak 70 akaun bank bernilai kira-kira RM8.5 juta selain menyita tujuh buah kenderaan bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku dalam tempoh antara tahun 2019 hingga 2025 yang mana pegawai dan pengarah syarikat dijadikan proksi kepada kedua-dua pensyarah IPTS terbabit menerima rasuah.
“Kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu dan kedua-dua pensyarah itu menerima wang rasuah secara tunai dan transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Menurutnya, kesemua mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




