Eropah berdepan gelombang haba ekstrem

Eropah berdepan gelombang haba ekstrem

PARIS – Sebahagian besar negara Eropah pada Isnin bersiap sedia berdepan gelombang haba ekstrem yang dijangka bertambah buruk dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Di Perancis, kira-kira 49 daripada 96 wilayah utama diletakkan di bawah amaran cuaca merah. Jumlah itu meningkat daripada 35 provinsi yang disenaraikan pada akhir minggu lalu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa mengumumkan penutupan 845 sekolah manakala 1,800 yang lain dibenarkan menamatkan sesi persekolahan lebih awal setelah beberapa bahagian di negara Eropah Barat itu merekodkan suhu melebihi 40 darjah Celsius.

Gelombang haba luar biasa di wilayah Gironde dilaporkan turut meragut tiga nyawa.

Di Sepanyol, agensi meteorologi Aemet memberi amaran suhu ‘amat tinggi’ sepanjang hari ke malam sehingga Rabu ini.

Suhu di beberapa kawasan diramalkan mencecah 44 darjah Celsius.

Di Itali, pihak berkuasa mengeluarkan amaran cuaca merah ke atas lapan bandar termasuk Bologna, Florence, Milan dan Turin setelah suhu melebihi 35 darjah Celsius selama beberapa hari.

Di Jerman, perkhidmatan cuaca DWD memberi amaran mengenai ribut petir kuat di kawasan timur negara itu termasuk Berlin selepas suhu setinggi 38 darjah Celsius direkodkan.

Menurut ahli meteorologi, gelombang haba itu berpunca daripada fenomena yang dikenali sebagai ‘kubah haba’ iaitu keadaan apabila udara panas terperangkap di ruang atmosfera di Eropah Barat dan Eropah Tengah, sekali gus menyebabkan suhu meningkat secara berterusan. – Agensi

Scroll to Top