London: Manchester United, Liverpool dan Chelsea menerima khabar gembira dalam usaha mereka merebut slot Liga Juara-Juara (UCL) selepas disahkan bahawa Liga Perdana Inggeris (EPL) akan mendapat lima tempat untuk musim depan.
Kemenangan 1-0 Arsenal ke atas Sporting CP, awal pagi tadi, memastikan liga England memperoleh satu slot tambahan, dengan lima pasukan teratas akan layak secara automatik ke UCL musim 2026/27.
Setakat ini, ia bermakna Arsenal, Manchester City, Manchester United, Aston Villa dan Liverpool akan mengesahkan tempat ke kejohanan elit Eropah itu musim depan.
Chelsea berada di kedudukan keenam dan masih berpeluang, manakala Brentford (ketujuh) dan Everton (kelapan) juga berpeluang mencabar di penghujung musim.
Sebelum aksi Arsenal di Sporting, hanya satu keputusan seri diperlukan untuk memastikan EPL mendapat slot tambahan itu.
Dengan Liverpool beraksi menentang Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok, serta Aston Villa, Nottingham Forest dan Crystal Palace beraksi pada Khamis, peluang untuk slot tambahan itu disahkan minggu ini memang tinggi.
Namun, Arsenal akhirnya mengesahkannya dengan kemenangan 1-0 ke atas Sporting dalam aksi suku akhir pertama UCL.
Pasukan Mikel Arteta berkunjung ke Estadio Jose Alvalade dengan misi membawa kelebihan pulang ke London Utara dan selangkah ke separuh akhir kejohanan kelab paling elit Eropah.
Walaupun bukan persembahan terbaik, The Gunners tetap meraih kemenangan tipis hasil jaringan Kai Havertz pada masa kecederaan.
Hantaran Gabriel Martinelli menemui Havertz yang tidak dikawal di dalam kotak penalti, sebelum pemain Jerman itu tenang menyudahkan peluang dengan rembatan ke sudut bawah gawang lawan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




