norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi Zizi Kirana, 41, berharap hubungan baiknya dengan ibu bapa mentua terus dijaga dan diberkati oleh Yang Esa dalam setiap memori yang pernah mereka lalui bersama.
Terdahulu, luahan disifatkan mendalam serta menyayat hati itu dikongsi Zizi atau nama sebenar Nur Fazelah Mad Tahil pada kapsyen hantaran fotonya bersama keluarga bekas suami, Yusuf Bahrin yang dimuat naik dalam Threads.
“Semoga Allah SWT jaga perkara yang baik antara kami dan memberkati setiap memori,” tulisnya ringkas.
Justeru, tindakan Zizi berkongsi foto berkenaan yang memaparkan dia tampil berpurdah dengan busana serba hitam duduk di bahagian tengah bersebelahan ibu mentua menarik perhatian ramai warga maya.
Bagaimanapun, kehadiran Yusuf sama sekali tidak kelihatan di dalam foto itu, namun rata-rata warga maya tetap menyambut baik dengan meninggalkan komen positif terhadap Zizi.
Meninjau pada ruangan komen, Zizi juga didapati ada membalas pertanyaan warga maya dengan memaklumkan hubungannya sebagai menantu akan kekal buat selamanya.
“Abah dan mak tetap menjadi orang tua saya sampai bila-bila,” katanya ringkas.
Terdahulu, Zizi dan bekas suami, Yusuf sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 2 April lalu selepas lima tahun hidup bersama.
Pasangan selebriti terkenal ini berkahwin pada 19 September 2021 dan sehingga berpisah, mereka masih tidak dikurniakan cahaya mata.
Sebelum itu, spekulasi hangat mengenai rumah tangga Zizi dan Yusuf didakwa bergolak apabila kedua-duanya memuat naik foto di Instagram (IG) menyambut hari raya Aidilfitri secara berasingan pada 1 Syawal lalu.
Kemudian muncul juga dakwaan mengaitkan mereka sudah lama tidak tinggal sebumbung termasuk masing-masing didapati tidak lagi saling mengikuti di akaun media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




