Suharmin Yusuf
suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Balakong: ‘Hostel’ mewah lengkap dengan pendingin hawa dan pelbagai kemudahan menjadi antara faktor pekerja asing memilih bekerja di premis kilang, di sini, diserbu dalam operasi bersepadu hari ini.
Tinjauan Harian Metro yang mengikuti operasi mendapati, hostel yang terletak di tingkat atas premis kilang memuatkan antara dua hingga 12 pekerja mengikut negara asal masing-masing.
Selain itu, hostel dilengkapi peti sejuk yang mengandungi barangan peribadi termasuk arak milik pekerja.
Ketika serbuan antara jam 11 pagi hingga 12 tengah hari, beberapa warga asing cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota operasi, sekali gus menyukarkan proses tangkapan.
Terdapat juga individu yang enggan membuka pintu, menyembunyikan warga asing serta menyorok dokumen penting yang melambatkan proses pemeriksaan.
Seorang pekerja warga Bangladesh, Arif, 22, mengakui bekerja di kilang itu sejak tiga tahun lepas selepas dibawa rakan.
“Gaji pokok RM1,750, campur kerja lebih masa boleh lah dapat RM3,000 hingga RM4,000 bang.
“Hostel pun percuma majikan sediakan, bilik ada aircond (pendingin hawa), saya selesa kerja sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, hari ini.
Katanya, kemudahan lengkap itu antara faktor utama membuatkan dia memilih untuk terus bekerja di kilang berkenaan.
Ketika ditanya sebab cuba melarikan diri semasa operasi, dia mengakui takut kerana dokumennya tidak lengkap dan membuatnya bimbang jika ditangkap oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, seorang lagi pekerja, Aditya, 25, dari Medan, Indonesia, bekerja di kilang itu selepas datang ke Malaysia menggunakan pas pelancong tiga tahun lepas.
Menurutnya, keputusan bekerja di premis berkenaan dibuat atas ajakan adiknya yang lebih dulu berada di sini.
“Datang sini sebab nak sara anak yang baru berumur tiga tahun, jadi tiada pilihan. Selesa kerja sini sebab banyak kemudahan disediakan,” katanya.
Dia turut mengakui cuba melarikan diri ketika serbuan, namun membatalkan niatnya selepas kawasan itu dikepung pegawai penguat kuasa.
Aditya berkata, kemudahan lengkap di kilang itu dan gaji lumayan antara faktor utama yang membuatkan dia memilih untuk terus bekerja di sini walaupun statusnya tidak sah.
Operasi bersepadu ini menekankan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap pekerja asing tanpa dokumen dan majikan yang menggaji mereka secara haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




