mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Persaingan perniagaan dan dendam peribadi dikenal pasti sebagai motif serangan besar-besaran terhadap sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata, pihak yang bertanggungjawab dipercayai mengupah kumpulan gengster bagi melaksanakan serangan itu yang berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari.
“Setakat ini, kita menahan 45 lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 57 tahun di dalam dan luar Lembah Klang.
“Dua daripada yang ditahan adalah pelajar sekolah menengah di mana mereka ini direkrut kumpulan gengster itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas lori yang digunakan untuk merempuh pintu pagar utama premis hiburan berkenaan.
“Kita juga merampas beberapa senjata yang digunakan dalam kejadian itu termasuk batang besi, besbol dan kayu.
“Premis berkenaan mempunyai lesen perniagaan yang sah namun hasil siasatan awal kita mendapati pemilik premis hiburan ini menggunakan khidmat kumpulan kongsi gelap bagi mengawasi aktiviti pengoperasiannya dan kesan daripada masalah dendam dan persaingan akibat perniagaan menjadi punca kepada serangan dan rusuhan yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini siasatan lanjut masih dijalankan dan kita juga sedang mengesan sebahagian lagi individu yang turut terbabit dalam serangan ini termasuk dalang atau orang tengah yang mengarahkan rusuhan dibuat.
Fadil berkata, semua suspek warga tempatan ini ditahan di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri di luar Lembah Klang.
“Pada peringkat awal, pihak polis telah menahan lapan individu sehari selepas kejadian namun seorang daripada mereka direman selama dua hari manakala baki yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.
“Susulan itu, pihak polis kemudian menahan 37 lagi individu lain semalam mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan dapat memperoleh kebenaran reman selama empat hari bermula hari ini.
“Melalui tangkapan ini juga polis turut merampas senjata yang digunakan seperti besi, kayu besbol selain kenderaan yang digunakan termasuk lori yang digunakan untuk merempuh pagar premis hiburan berkenaan,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427/148 Kanun Keseksaan.
“Kejadian ceroboh dan rusuhan yang dipercayai dilakukan oleh lebih 60 individu memakai topeng penutup muka ini berlaku sekitar jam 1.30 tengah hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




