am@hmetro.com.my
Jasin: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menolak surat peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).
Beliau berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri terus berjalan dengan lancar.
“Dr Akmal, saya nak beritahu dia telah mengemukakan surat sejurus selepas dia buat pengumuman.
“Tapi saya membuat keputusan menolak peletakan jawatan tersebut supaya dia dapat meneruskan tugas sebagai EXCO kerajaan negeri, jadi hak untuk menerima dan menolak ialah hak Ketua Menteri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai status EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu.
Terdahulu, ADUN Tanjung Bidara itu ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di Empangan Jus.
Media pada Januari lalu melaporkan Muhamad Akmal, yang juga Ketua Pemuda UMNO, mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO kerajaan negeri ketika Perhimpunan Agung Pemuda UMNO.
© New Straits Times Press (M) Bhd




