Laluan di Selat Hormuz masih terhenti walaupun gencatan senjata dicapai

Laluan di Selat Hormuz masih terhenti walaupun gencatan senjata dicapai

Istanbul: Trafik kapal di Selat Hormuz masih berada dalam keadaan terhenti walaupun ketegangan di Asia Barat sedikit reda selepas keputusan gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Penyedia data trafik kapal melaporkan yang pergerakan di selat itu kekal tidak berubah, manakala laman penjejakan kapal tangki global, TankerTrackers berkata: “Kami tidak melihat banyak pergerakan berlaku.”

Visual berasaskan satelit oleh TankerTrackers menunjukkan tiada kapal tangki melalui selat itu sejak bermulanya gencatan senjata.

Satu lagi penjejak kapal MarineTraffic, menyatakan hanya dua kapal yang melalui selat itu setakat Rabu; sebuah kapal kargo pukal milik Greece, NJ Earth dan sebuah kapal berdaftar di Liberia, Daytona Beach.

Selat itu, yang kebiasaannya menyaksikan lebih 100 kapal melaluinya setiap hari, sebahagian besarnya ditutup oleh Iran susulan perang yang dimulakan oleh Amerika Syarikat dan Israel, menyebabkan trafik harian merosot kepada hanya beberapa kapal sahaja.

Kira-kira 20 peratus penghantaran gas asli cecair (LNG) global dan 20 juta tong minyak melalui selat itu, selain komoditi penting bagi sektor pertanian dan pembuatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top