Kerajaan kekalkan harga subsidi di sebalik ketidaktentuan minyak global

Kerajaan kekalkan harga subsidi di sebalik ketidaktentuan minyak global

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu meskipun harga minyak mentah global melonjak sejak lima minggu lalu.

Ia susulan krisis tenaga di Asia Barat yang meningkatkan kos petroleum serta kos berkaitan termasuk logistik dan insurans.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April 2026 adalah RM5.35 seliter bagi RON97 berbanding RM4.96 seliter pada minggu lalu.

“Bagi RON95 pula, harga seliter adalah RM4.27 seliter berbanding RM3.87 seliter pada minggu lalu, manakala diesel (Semenanjung Malaysia) pula RM6.72 seliter berbanding RM6.02 seliter pada minggu lalu.

“Bagaimanapun, kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu iaitu subsidi RON95 dengan harga RM1.99 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM2.15 seliter.

“Sementara itu, Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) adalah RM2.05 seliter, manakala Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula RM2.15 seliter. Bermula 1 April lalu, had kelayakan BUDI95 diselaraskan kepada 200 liter sebulan katanya.

Katanya, pelarasan itu adalah langkah sementara sehingga keadaan bekalan global kembali stabil.

“Selain itu, kerajaan turut melaksanakan had pengisian diesel bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan mengehadkan pengisian diesel kategori kenderaan maksimum 50 liter bagi setiap pembelian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam barangan dan persendirian.

“Kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan pula maksimum 100 liter setiap pembelian. Bagi kenderaam melebihi tiga tan pula maksimum 150 liter bagi setiap pembelian,” katanya.

Sebagai langkah sementara susulan kenaikan harga diesel, katanya, kerajaan mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 pada April menjadikan jumlah bantuan sebanyak RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Sehubungan itu, harga semasa masih mencerminkan kos bekalan yang tinggi sepanjang tempoh lima minggu lalu ketika pasaran global berada pada paras lebih tinggi.

Katanya, ia mencecah sekitar AS$150 (RM596) setong bagi produk petrol dan AS$250 (RM994) setong bagi produk diesel dan terus mempengaruhi harga runcit di dalam negara.

“Walaupun terdapat penurunan harga minyak mentah global hari ini berikutan pengumuman gencatan senjata, kesannya tidak serta-merta diterjemahkan kepada penurunan harga runcit bahan api di Malaysia.

“Ini kerana harga pam di negara ini ditentukan berdasarkan purata harga petrol dan diesel minggu sebelumnya dan bukannya harga semasa hari ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top