Jangan ganggu Antonelli, Russell rebut kejuaraan

Jangan ganggu Antonelli, Russell rebut kejuaraan

London: Toto Wolff diminta ‘tidak menggunakan arahan pasukan’ ketika perebutan kejuaraan Formula Satu (F1) antara dua pemandu Mercedes-AMG Petronas Formula One Team, Kimi Antonelli dan George Russell semakin hangat.

Antonelli kini mendahului dengan kelebihan sembilan mata ke atas rakan sepasukannya selepas meraih dua kemenangan daripada tiga perlumbaan pembukaan musim 2026.

Russell, yang sebelum musim bermula dianggap pilihan utama muncul juara dunia, membuka kempen dengan bergaya apabila memenangi perlumbaan pembukaan di Australia, namun menghadapi masalah ketika sesi kelayakan di China.

Antonelli memanfaatkan nasib malang rakan sepasukannya untuk menjadi pemandu termuda pernah meraih petak utama F1, serta pemenang kedua termuda di Shanghai, sebelum kehadiran kereta keselamatan di Grand Prix (GP) Jepun membantu Antonelli memintas Russell dan mencatat kemenangan berturut-turut.

Bekas pemandu Ferrari dan pemenang empat kali perlumbaan grand prix, Eddie Irvine, percaya Antonelli, yang baru memasuki musim kedua F1, kini muncul sebagai pencabar kejuaraan sebenar.

“Kimi adalah pencabar kejuaraan sebenar, tetapi masih terlalu awal untuk membuat sebarang ramalan pada penghujung musim,” kata Irvine kepada Gazzetta dello Sport.

Apabila ditanya sama ada beliau menjangka pertembungan antara Antonelli dan Russell akan berlaku, Irvine menjawab: “Saya 100 peratus pasti akan berlaku.”

“Prestasi kedua-dua pemandu hampir sama. Oleh itu, Toto Wolff tidak boleh campur tangan dengan arahan pasukan.

“Beliau pernah mengalami situasi tegang ketika Lewis Hamilton bertarung dengan Nico Rosberg, dan kemudian dengan Max Verstappen. Dalam kes yang terakhir, berlaku kemalangan buruk di Silverstone.”

Antonelli diserap masuk ke F1 oleh Mercedes selepas hanya satu musim dalam Formula 2, susulan perpindahan mengejut juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton ke Ferrari bagi musim 2025.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top