PARIS: Rafael Nadal mara ke suku akhir Terbuka Perancis buat kali ke-15 hari ini untuk berada di landasan tepat mencari gelaran ke-14 dan rekod 21 Grand Slam dengan cabaran terbesarnya ialah berdepan cahaya terang di stadium.
Pilihan ketiga, Nadal menundukkan pemain berusia 19 tahun dari Itali, Jannik Sinner 7-5, 6-3, 6-0 dan akan berdepan pilihan ke-10 Diego Schwartzman dari Argentina yang ditewaskannya pada separuh akhir tahun lalu.
Nadal kini sudah menang 104 perlawanan di Roland Garros dan hanya dua kekalahan sejak penampilan pertama pada 2005 manakala kemenangan hari ini melebarkan rekod berturut-turut miliknya kepada 35.
Walaupun perlawanan berlangsung ketika ada cahaya matahari dan cuaca sekitar 25 darjah, Nadal bingung kenapa lampu di dalam Court Philippe Chatrier dibuka.
“Saya tidak tahu kenapa mereka membuka lampu seawal itu. Kami bermain tanpa lampu di sini, di Roland Garros untuk sekian lama,” kata Nadal.
“Pada jam 4:00 atau 5:00 petang kami bermain tenis hingga 9:00 malam tanpa lampu.
“Mereka kata sebab TV. Tapi jawapan saya ialah kami juga ada TV sebelum kini lampu dibuka. Saya lihat banyak perlawanan di sini, dan daripada TV kualiti imej habat tanpa lampu.”
Pemain nombor tiga dunia berusia 35 tahun dari Sepanyol itu bakal berdepan Novak Djokovic pada separuh akhir.
Pemain nombor satu dunia, Djokovic menewaskan rakan senegara Sinner, Lorenzo Musetti yang menamatkan saingan pada set kelima, mengejutkan pemain Serbia itu dengan menang dua set pertama.
“Saya bermula dengan baik tetapi agak terlalu bertahan. Saya memberikannya peluang untuk masuk ke depan gelanggang dan bermain pukulan terbaiknya. Itu adalah kesilapan,” kata Nadal. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




