syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat akan berdepan tekanan kos makanan apabila harga import meningkat susulan konflik global walaupun bekalan tempatan masih mencukupi.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ameera A Jaz berkata, perang di Iran memberi kesan kepada harga makanan walaupun stok masih ada di pasaran.
Beliau berkata, gangguan laluan perdagangan dunia terutama membabitkan minyak menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada kenaikan kos.
“Bila harga minyak naik, kos pengangkutan makanan akan meningkat, dalam masa sama, harga baja juga boleh naik, sekali gus kos hasilkan makanan akan jadi lebih mahal.
“Untuk Malaysia, kesannya lebih kepada kenaikan harga berbanding kekurangan stok kerana negara masih bergantung kepada import makanan.
“Jadi walaupun bekalan masih ada di pasaran, kos untuk bawa masuk dan hasilkan makanan itu sudah lebih tinggi,” katanya kepada Harian Metro.
Dalam masa sama, beliau berkata, bekalan beras negara ketika ini dianggarkan mampu bertahan sekitar enam bulan.
Namun, katanya, tempoh bekalan boleh menjadi lebih singkat sekiranya berlaku pembelian panik atau pengeluaran padi terjejas akibat kemarau berterusan di kawasan utara.
Beliau berkata, tekanan harga ketika ini masih terkawal dengan jangkaan inflasi sekitar 1.5 hingga 2.5 peratus pada 2026.
“Bagaimanapun, jika kos global seperti minyak, baja atau logistik terus meningkat, harga makanan boleh turut terjejas.
“Dalam jangka pendek, kerajaan boleh fokus untuk mengurangkan kesan kenaikan harga kepada rakyat. Contohnya, melalui kawalan harga barang keperluan dan subsidi bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan supaya bantuan lebih tepat serta berkesan.
“Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan bekalan makanan sentiasa stabil. Ini kerana Malaysia masih bergantung kepada import untuk sebahagian makanan,” katanya.
Nur Ameera berkata, Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada import dengan memperkukuh pengeluaran makanan tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




