Harga minyak meningkat ketika pasaran memantau gencatan senjata AS-Iran, isu Selat Hormuz

Harga minyak meningkat ketika pasaran memantau gencatan senjata AS-Iran, isu Selat Hormuz

HARGA minyak meningkat menghampiri AS$100 setong dalam persekitaran ketidaktentuan yang berlarutan susulan perkembangan gencatan senjata antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran selama dua minggu serta penutupan semula Selat Hormuz oleh Iran susulan serangan Israel ke atas Lubnan.

Setakat ini, minyak mentah Brent naik 2.32 peratus kepada AS$96.95 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) meningkat 3.01 peratus kepada AS$97.42 setong selepas kedua-dua penanda aras itu menyusut lebih 15 peratus pada sesi dagangan sebelumnya.

Pada Rabu, AS dan Iran bersetuju mengadakan gencatan senjata selama dua minggu dan dalam tempoh itu Tehran membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz dengan selamat.

Perkembangan ini mencetuskan reaksi pantas apabila WTI menyusut sehingga 19 peratus kepada AS$91, manakala Brent susut 16 peratus kepada AS$92.

Menurut Standard Chartered, perubahan harga yang pantas mungkin melebihi jangkaan, dan harga minyak dijangka melonjak sekiranya ketegangan kembali memuncak atau terdapat sebarang kenyataan keras.

“Unjuran purata minyak mentah Brent bagi suku kedua 2026 kami adalah AS$98 setong dan WTI AS$92.50 setong,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Israel melancarkan serangan paling buruk ke atas Lubnan sejak konflik dengan Hezbollah semakin meruncing pada bulan lalu.

Lebih 250 orang dilaporkan terbunuh pada Rabu ketika kumpulan yang disokong Iran itu meneruskan semula serangan roket ke utara Israel selepas berhenti seketika semasa gencatan senjata.

Iran dilaporkan telah menyediakan laluan alternatif untuk kapal yang melalui Selat Hormuz bagi mengurangkan risiko periuk api laut di laluan perkapalan utama, selain mengubah laluan keluar masuk kapal di perairan penting tersebut.

Menurut Standard Chartered, pergerakan harga dalam masa terdekat ini masih dipacu oleh perkembangan konflik AS-Iran.

Ketegangan itu telah mewujudkan beberapa kawasan konflik di rantau berkenaan, mengurangkan pergerakan kapal yang melalui Selat Hormuz dan menyebabkan pengeluaran minyak dihentikan sementara di negara-negara Teluk.

Keadaan berkenaan sekali gus menekankan isu kapasiti yang terhad serta kebergantungan kepada laluan transit utama.

“Kami menjangka situasi semasa ini akan berterusan apabila Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memperkenalkan metrik kapasiti mampan maksimum,” katanya.

Menurut CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, di Malaysia, sekatan pergerakan ketika COVID-19 boleh dijadikan contoh sebagai senario terburuk sekiranya konflik di Asia Barat berpanjangan dan menjejaskan rantaian bekalan sehingga memerlukan sekatan pergerakan.

Walaupun dalam keadaan sedemikian, firma pembrokeran berkenaan menjangka kesan itu adalah sementara dan mengunjurkan pasaran bersedia untuk pulih.

“Pengalaman perbelanjaan besar selepas sekatan pergerakan Covid-19 serta langkah bank pusat di seluruh dunia menambahkan kecairan di pasaran sewajarnya menyebabkan pasaran memfokuskan kepada isyarat pemulihan berbanding terlalu bimbang mengenai risiko terburuk,” katanya. – Bernama

Scroll to Top