am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) memaklumkan proses pendaftaran pelarian yang dilaksanakannya mengikut piawaian serta langkah perlindungan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, badan itu berjanji untuk meningkatkan kerjasama lebih erat dengan kerajaan Malaysia.
UNHCR berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan terbaharu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan menyambut baik seruan beliau untuk memperkukuhkan kerjasama dalam isu berkaitan pelarian.
“UNHCR mengambil maklum komen Menteri Luar dan menyambut baik penekanan terhadap kerjasama lebih erat dalam isu berkaitan pelarian.
“UNHCR kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama secara konstruktif dengan kerajaan Malaysia bagi memastikan individu yang memerlukan perlindungan antarabangsa dikenal pasti dan diberikan sokongan melalui sistem suaka yang adil, berkesan serta berteraskan perlindungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, UNHCR berkata, proses pendaftaran dan penentuan status pelarian yang dilaksanakannya mengikut prosedur ditetapkan termasuk pengesahan identiti dan langkah perlindungan bagi mengelakkan penipuan serta pendaftaran berganda.
Badan itu menegaskan, saringan keselamatan negara, kawalan imigresen dan penguatkuasaan undang-undang adalah tanggungjawab pihak berkuasa Malaysia.
UNHCR bagaimanapun, bersedia memperkukuhkan kerjasama melalui perkongsian maklumat dan langkah lain yang menyeimbangkan antara perlindungan pelarian dengan pengurusan sempadan.
Agensi itu berkata, ia akan terus menyokong usaha kerajaan untuk memperkukuhkan prosedur suaka termasuk pendaftaran dan dokumentasi pelarian.
Pada masa sama, UNHCR turut menyatakan, tanggungjawab utama dalam melindungi pelarian serta pencari suaka terletak pada Malaysia.
“Pihak kami sentiasa mengadakan hubungan secara berkala dengan kerajaan melalui pasukan petugas bersama antara agensi mengenai perlindungan dan pengurusan pelarian, selain rundingan dua hala, perbincangan teknikal serta penyelarasan operasi.
“Saluran ini mencerminkan amalan dialog dan kerjasama yang sudah lama terjalin antara UNHCR dan pihak berkuasa Malaysia.
“UNHCR kekal komited untuk meneruskan dan memperkukuhkan mekanisme ini bagi menyokong pengurusan pelarian yang berkesan serta menangani isu berkepentingan bersama secara konstruktif dan kolaboratif,” katanya.
Terdahulu, Mohamad mempersoalkan ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi mengawal bidang kuasa, tanggungjawab dan skop operasi agensi berkenaan.
Mohamad mendakwa, Malaysia menjadi ‘magnet’ kepada pelarian kerana UNHCR terlalu mudah mengeluarkan kad pelarian.
Beliau turut menggesa, supaya keseimbangan diwujudkan antara pertimbangan kemanusiaan dan keselamatan negara.
Mohamad berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan langkah yang mewajibkan pemohon pelarian menjalani saringan keselamatan serta mendapatkan kelulusan kementerian sebelum kad UNHCR dikeluarkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




