Jonassen tertarik perkembangan positif Ling Ching, Justin

Jonassen tertarik perkembangan positif Ling Ching, Justin

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Walaupun Malaysia pulang hampa tanpa kemenangan dalam dua aksi perseorangan di Kejohanan Badminton Asia (BAC), peningkatan ditampilkan pemain muda negara mencuri perhatian barisan kejurulatihan.

Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonnassen menyifatkan prestasi Wong Ling Ching sebagai positif walaupun tewas kepada bekas juara dunia, Pusarla V Sindhu.

Menurutnya, Ling Ching mempamerkan aksi baik secara keseluruhan, namun kekurangan pengalaman dalam detik penting menghalangnya memberi tekanan lebih kepada lawan.

“Prestasi keseluruhan Ling Ching adalah baik, tetapi dalam beberapa momen penting dia kurang pengalaman untuk menambah tekanan ke atas lawan.

“Namun perkembangan dia kekal positif dan mampu mencabar pemain bertaraf dunia hingga ke penghujung perlawanan adalah satu langkah ke depan,” katanya.

Dalam aksi itu, Ling Ching terlebih dulu menang set pertama sebelum tewas 21-15, 11-21, 19-21 kepada Sindhu.

Sementara itu, Jonnesen turut memuji peningkatan dipamerkan Justin Hoh walaupun tewas kepada pemain sedang meningkat naik dari Indonesia, Alwi Farhan.

Katanya, Justin kini semakin hampir untuk bersaing dengan kelompok pemain elit dunia berdasarkan prestasi semasa.

“Justin semakin hampir dengan pemain terbaik dunia. Prestasi keseluruhannya berada pada tahap tinggi.

“Kerja keras dia bersama jurulatih jelas menunjukkan hasil dan saya percaya kemenangan akan hadir jika dia terus komited di landasan ini,” katanya.

Justin memberikan tentangan sengit sebelum tewas 19-21, 21-14, 18-21 dalam perlawanan tiga set.

Mengulas lanjut, Jonnesen menegaskan walaupun keputusan tidak memihak kepada Malaysia, perkembangan pemain dapat dilihat dengan jelas.

“Kita tidak mendapat kemenangan dalam dua perlawanan ini, tetapi peningkatan jelas dan proses pembelajaran akan terus berjalan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top