Konami pilih Malaysia selepas Thailand dan Jepun

Konami pilih Malaysia selepas Thailand dan Jepun
Konami pilih Malaysia selepas Thailand dan Jepun

Pemain Liga Super (dari kiri), Nooa Laine dari Selangor FC, Takumi Sasaki dari Negeri Sembilan FC, Irfan zakaria dari Melaka FC dan Park Tae-Su dari PDRM FC mencuba permainan eFootball pada majlis kerjasama MFL dan Konami pada Khamis. – Bernama

MALAYSIA terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pasaran bola sepak penting di rantau ini apabila dipilih sebagai negara ketiga yang menampilkan liga domestik dalam permainan popular eFootball terbitan Konami Digital Entertainment.

Pemilihan itu meletakkan Malaysia sebaris dengan Jepun dan Thailand, sekali gus mencerminkan kekuatan budaya bola sepak tempatan serta sokongan penyokong yang semakin berkembang, termasuk dalam arena digital dan e-sukan.

Perkembangan berkenaan dilihat sebagai satu bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap potensi Liga Malaysia (Liga M) untuk berkembang lebih jauh, bukan sahaja di atas padang, malah dalam ekosistem digital global.

Inisiatif itu direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Konami bagi membawa saingan Liga M ke pentas digital global melalui eFootball.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata langkah berkenaan menjadi antara usaha penting dalam memperkukuh jenama Liga M di samping menarik minat golongan muda terhadap bola sepak tempatan.

Beliau menyifatkan kerjasama itu sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh untuk merapatkan hubungan antara Liga M dan komuniti eFootball yang semakin besar di Malaysia.

“Hari ini menandakan satu langkah ke arah pendekatan lebih luas, iaitu usaha merapatkan hubungan dengan komuniti eFootball di Malaysia yang sangat besar. MFL amat berbesar hati, malah sebelum pengumuman rasmi hari ini, sudah timbul kehangatan di media sosial sejak beberapa hari lalu mengenai kerjasama ini.

“Kami juga melihat respons memberangsangkan dari negara jiran apabila Liga M kini dipaparkan dalam platform eFootball,” katanya.

Sementara itu, Penerbit Am Konami, Junichi Taya, menyifatkan Malaysia sebagai pasaran penting berdasarkan kekuatan budaya bola sepak serta sokongan penyokong yang cukup bersemangat.

“Rakyat di sini bukan sahaja berminat dengan bola sepak sebenar, malah turut aktif dalam e-sukan dan platform digital.

“Itulah sebabnya Konami sangat berminat untuk bekerjasama dengan Malaysia,” katanya.

Kerjasama ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada Liga M untuk memperluas pengaruh di peringkat antarabangsa, selain meningkatkan daya tarikan liga tempatan dalam kalangan generasi baharu yang semakin cenderung kepada platform digital.

Scroll to Top