Ahmedabad: Di sebalik kesedihan kehilangan anak tersayang, pasangan suami isteri di barat India membuat keputusan mendermakan organ anak lelaki mereka yang maut dalam kemalangan ngeri demi menyelamatkan enam nyawa lain.
Memetik laporan NDTV, Krish Akbari, 17, seorang pelajar biologi Tingkatan Lima disahkan mengalami mati otak selepas skuter ditunggangnya dirempuh seekor nilgai yang melompat ke tengah jalan di Divine Road di Ahmedabad pada 31 Mac lalu.
Kejadian berlaku apabila haiwan spesies antelop itu dipercayai terkejut dengan bunyi hon lori dari arah bertentangan sebelum merempuh mangsa yang dalam perjalanan ke kelas tuisyen.
Krish segera dikejarkan ke hospital untuk pembedahan kecemasan, namun imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menunjukkan otaknya mengalami kerosakan kekal akibat kekurangan oksigen.
Dalam suasana hiba itu, bapanya memberitahu Times of India bahawa mereka melihat pendermaan organ sebagai peluang untuk membolehkan Krish terus ‘hidup’ dalam diri orang lain.
Ibu saudara mangsa pula menyifatkan Krish sebagai seorang peminat kecergasan yang bercita-cita menjadi ahli fisioterapi kerana sangat obses dengan keinginan untuk menyembuhkan orang lain.
Susulan persetujuan murni keluarga, doktor berjaya mengeluarkan organ penting termasuk jantung, hati, buah pinggang, paru-paru, tangan dan kornea untuk dipindahkan kepada pesakit yang memerlukan.
Menurut keluarga, ketika upacara pengebumian dijalankan, jantung Krish dilaporkan sedang dipindahkan kepada seorang budak lelaki berusia 13 tahun dari Bhavnagar.
Selain jantung, tangan Krish diserahkan kepada seorang remaja di Faridabad manakala buah pinggangnya diberikan kepada dua pesakit remaja lain bagi membolehkan mereka meneruskan kehidupan.
Kornea mangsa didermakan kepada seorang pesakit di bandar ini manakala paru-parunya diserahkan kepada seorang lagi pesakit muda yang mengalami masalah pernafasan kronik.
Meskipun Krish tidak sempat menamatkan pengajian atau memakai jubah putih sebagai seorang ahli perubatan, keluarganya berbangga kerana dia memenuhi tujuan hidupnya dengan cara yang paling bermakna.
Tindakan itu bukan sahaja menyelamatkan nyawa pesakit, malah meringankan kesedihan enam keluarga lain yang kini dapat merasai harapan dan kegembiraan.
Menurut keluarga, Krish tidak benar-benar pergi kerana dia kini terus ‘hidup’ melalui degupan jantung seorang kanak-kanak dan penglihatan seorang individu yang lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




