Adam mahu manfaat peluang tiket wild card ARRC 2026

Adam mahu manfaat peluang tiket wild card ARRC 2026

saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Dunia, Adam Norrodin tidak mahu mensia-siakan peluang apabila diberikan tiket wild card untuk beraksi dalam kelas ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini, sekali gus menaikkan semula namanya di pentas antarabangsa.

Pelumba AMI Suzuki Motorsport itu dijadualkan turun dalam empat pusingan termasuk dua aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang membuka tirai bermula esok hingga Ahad ini, selain satu lagi pusingan di venue sama pada 11 hingga 13 September depan.

Menurut Adam yang akan beraksi bersama pasukan pengeluar, dua lagi pusingan masih belum dimuktamadkan setakat ini.

Walaupun tidak dapat mengharungi musim penuh yang merangkumi enam pusingan, pelumba berusia 27 tahun itu tetap bersyukur kerana diberi peluang lebih baik untuk kembali bersaing di pentas Asia berbanding hanya beraksi sebanyak dua pusingan tahun lalu, juga menerusi tiket wild card.

“Saya bersyukur kerana dapat lebih banyak peluang berlumba di ARRC walaupun memang harap dapat beraksi semusim musim penuh.

“Kekangan logistik menjadi antara faktor utama pasukan saya tidak dapat menyertai keseluruhan kalendar musim ini.

“Kami hanya ada sebuah motosikal saja. Motosikal baru belum sampai lagi. Kalau beraksi musim penuh, jentera itu perlu dibawa pulang ke Malaysia kerana saya ada komitmen dalam MSBK (Kejuaraan Superbike Malaysia).

“Mungkin tahun depan saya boleh beraksi musim penuh di ARRC kerana akan ada dua motosikal iaitu satu kekal di ARRC dan satu lagi untuk MSBK,” katanya.

Adam pernah beraksi pada musim penuh Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia selama tiga musim bermula 2016 selain turut beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dalam kelas Supersport pada 2023.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top