London: Harry Maguire memasang impian untuk kembali menyarung jersi England ke pentas Piala Dunia tahun ini, dengan menyifatkan dirinya masih antara pertahanan terbaik dunia meskipun sudah berusia 33 tahun.
Pemain Manchester United itu kembali dipanggil menyertai skuad kebangsaan bulan lalu bagi aksi persahabatan menentang Uruguay dan Jepun, yang juga penampilan pertamanya sejak 2024.
Maguire mengakui persaingan untuk merebut tempat dalam skuad kendalian Thomas Tuchel cukup sengit dengan kehadiran nama seperti Ezri Konsa, Marc Guehi, John Stones dan Trevoh Chalobah.
Bagaimanapun, dia tetap bertekad untuk berada dalam senarai 26 pemain ke Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Utara dari 11 Jun hingga 19 Julai ini, malah menyifatkan edisi kali ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di pentas tertinggi itu.
“Saya sudah beraksi di dua Piala Dunia, tetapi terlepas Kejohanan Eropah sebelum ini akibat kecederaan dan ia amat mengecewakan. Jadi saya sangat mahu kembali, tidak kira peranan yang diberikan,” katanya.
Maguire turut menegaskan keyakinannya bahawa dia masih berada pada tahap tertinggi, khususnya dalam aspek pertahanan dan ancaman di kotak penalti lawan.
Dalam perkembangan sama, Maguire baru sahaja menandatangani kontrak baharu bersama United hingga 2027 dengan pilihan lanjutan setahun, dan percaya kelab itu perlu memperkukuh skuad bagi menghadapi musim depan dengan lebih kompetitif.
© New Straits Times Press (M) Bhd




