
Penduduk Palestin berjemaah menunaikan solat Subuh di Haram al-Sharif pada Khamis. – Foto AFP
BAITULMAQDIS – Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis akhirnya dibuka pada Khamis selepas penutupan selama 40 hari oleh Israel yang menggunakan alasan Perang Iran bersama Amerika Syarikat (AS) dan Israel untuk mengenakan sekatan ketat tersebut.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), pembukaan semula masjid ketiga paling suci orang Islam itu dilakukan pada waktu subuh dengan membenarkan ratusan penduduk Palestin memasuki pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) untuk menunaikan solat Subuh secara berjemaah.
“Mereka tidak dapat menahan sebak kerana dapat menjejakkan kaki semula ke al-Aqsa,” menurut laporan itu lagi.
Pada awal minggu lalu, Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir mencetuskan kemarahan Muslim selepas dia melakukan tindakan provokasi dengan menceroboh kawasan Haram al-Sharif ketika sekatan ketat masih berkuat kuasa.
Pihak berkuasa Israel menghalang akses ke al-Aqsa sejak awal Ramadan, malah melarang solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid berkenaan pada Syawal kali ini yang merupakan sekatan pertama sejak pendudukan ke atas Baitulmaqdis pada 1967.
Pada masa sama, rejim Tel Aviv turut mengenakan sekatan sama ke atas penganut Kristian dengan mengehadkan kemasukan ke Gereja Makam Suci di Kota Lama tersebut. – Agensi



