PGA tahan 2 sahabat bawa rokok seludup hampir RM470,000

PGA tahan 2 sahabat bawa rokok seludup hampir RM470,000

am@hmetro.com.my

Pasir Puteh: Dua sahabat ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana disyaki membawa 260,000 batang rokok seludup bernilai hampir RM470,000, di sini, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua lelaki tempatan berusia 26 dan 31 tahun itu ditahan dalam Op Taring Wawasan Kelantan.

“Sepasukan PGA dari Batalion 9 mengesan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam keadaan mencurigakan di laluan dari Pasir Puteh menuju ke Gong Kelih pada 7 pagi sebelum bertindak menahan kenderaan terbabit.

“Pemeriksaan lanjut menemukan kedua suspek berada dalam kenderaan bersama kotak yang dipercayai mengandungi rokok seludup.

“Terdapat 26 kotak besar mengandungi 260,000 batang rokok putih,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, rokok yang tidak bercukai itu dipercayai untuk diedarkan di pasaran tempatan termasuk Terengganu.

Beliau berkata, kedua suspek yang dipercayai bertindak sebagai ‘runner’ mengaku dibayar RM200 bagi setiap perjalanan oleh seorang lelaki tempatan.

“Rokok berkenaan dipercayai diperoleh daripada pembekal di Kota Bharu sebelum diedarkan secara berperingkat mengikut permintaan,” katanya.

Ahmad Radzi berkata, dua kenderaan iaitu Perodua Alza dan Proton Exora turut disita dalam operasi berkenaan.

“Nilai rampasan termasuk kenderaan dan rokok dianggarkan RM508,000,” katanya.

Menurutnya, kedua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Ahmad Radzi berkata, PGA akan terus memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran rokok tidak sah di negeri itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top