Harga minyak di pasaran global tetap memberi kesan kepada Malaysia walaupun minyak negara tidak melalui laluan Selat Hormuz, kata Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim yang sebelum ini menyatakan harga minyak negara tidak terkesan dengan sekatan di laluan berkenaan kerana eksport minyak Malaysia tidak melaluinya.
Menurutnya, walaupun benar minyak mentah negara tidak melalui Selat Hormuz, Malaysia masih bergantung kepada import minyak bagi menampung penggunaan domestik.
“Memanglah minyak kita tak lalu di Selat Hormuz, tapi minyak yang dikeluarkan di negara kita tidak cukup untuk menampung penggunaan di negara kita.
“Jadinya memang kita perlu import minyak kita dari luar. Maka, disebabkan itu kenaikan harga minyak dunia akan mempengaruhi harga minyak di negara kita,”ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa faktor pengeluaran minyak perlu dilihat berdasarkan jumlah sebenar output berbanding penggunaan domestik, bukan sekadar lokasi laluan eksport.
Artikel lain: ‘Minyak kita tak lalu Selat Hormuz’ – Azman sokong kenyataan Abdul Hadi
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah pelantar minyak tidak semestinya mencerminkan kapasiti pengeluaran sebenar negara.
“Jumlah pelantar yang banyak bukan indikasi kita banyak minyak, tapi kita kena tengok berapa jumlah minyak yang dikeluarkan,” katanya lagi.

Perbezaan pandangan itu tercetus susulan perbahasan mengenai sejauh mana faktor geopolitik di Timur Tengah memberi kesan terhadap harga minyak global dan implikasinya kepada Malaysia.
Sumber: FB Akmal Saleh



