PERSATUAN Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) menegaskan bahawa Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) Malaysia dan Organisasi Pembangunan Usahawan (EDO) kekal komited sepenuhnya menyokong individu serta perniagaan dalam mengharungi ketidaktentuan global yang berterusan termasuk perkembangan terkini di Asia Barat.
Dalam kenyataan pada Jumaat, ADFIM mengakui, tempoh ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi yang memuncak boleh memberi tekanan dan kebimbangan sebenar kepada perniagaan, komuniti dan isi rumah.
“DFI dan EDO terus memainkan peranan penting yang bersifat kitaran balas (countercyclical) dengan memastikan akses berterusan kepada sokongan kewangan khususnya bagi sektor strategik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta segmen ekonomi yang kurang mendapat perkhidmatan.
“Menyedari pelanggan mungkin berdepan tekanan kewangan yang semakin meningkat, ADFIM menggalakkan mereka yang menghadapi kesukaran supaya berhubung dengan DFI dan EDO masing-masing secepat mungkin,” katanya.
Komunikasi awal dan terbuka membolehkan DFI dan EDO memahami dengan lebih jelas keadaan individu dan mengenal pasti pilihan sokongan yang adil, praktikal serta responsif terhadap keperluan pelanggan.
Bantuan yang tersedia mungkin merangkumi pengaturan pembayaran balik yang fleksibel, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan dan sokongan nasihat bagi mengurangkan tekanan jangka pendek sambil mengekalkan daya maju perniagaan dalam jangka panjang.
Ia selaras dengan mandat pembangunan DFI dan EDO untuk memupuk daya tahan ekonomi yang inklusif.
Pada masa sama, ADFIM turut memberi jaminan kepada orang ramai, institusi ahlinya kekal mempunyai modal yang kukuh dan terus beroperasi dalam rangka kerja pengurusan risiko yang teguh serta berhemat sekali gus membolehkan mereka menyediakan sokongan berterusan kepada pelanggan sambil mengekalkan kestabilan kewangan keseluruhan.
Ia turut menegaskan semula bahawa ekosistem DFI dan EDO kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan, pengawal selia, pelanggan serta pihak berkepentingan utama bagi memastikan perniagaan yang berdaya maju serta komuniti yang terjejas terus menerima bantuan yang diperlukan.
“Usaha kolektif ini menyokong matlamat lebih luas Malaysia dalam memupuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, ADFIM menekankan kepentingan komunikasi yang jelas dan penuh empati dalam tempoh ketidaktentuan.
Persatuan ini akan terus memperkukuh penglibatan dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi memastikan inisiatif selain langkah sokongan yang relevan disampaikan dengan jelas serta sampai kepada komuniti yang paling memerlukannya.
ADFIM juga menggalakkan pelanggan untuk menghubungi DFI dan EDO masing-masing bagi meneroka pilihan sokongan yang tersedia sekali gus menegaskan komitmen berterusan institusi tersebut dalam menyediakan jaminan, kerjasama serta penyelesaian praktikal ketika waktu sukar.



