Kuala Lumpur: Malaysia akan mewajibkan syarikat farmaseutikal melaporkan kemungkinan kekurangan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal bermula 1 Julai 2026, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi gangguan rantaian bekalan global.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata langkah itu yang ketika ini bersifat sukarela, merupakan sebahagian daripada peralihan lebih luas ke arah pengurusan risiko secara proaktif bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam keadaan ketidaktentuan global.
Beliau berkata pemain industri diberi tempoh hingga 15 April untuk memberikan maklum balas mengenai ketersediaan bahan farmaseutikal aktif dan bahan pembungkusan bagi membolehkan intervensi awal dilaksanakan sebelum kekurangan memberi kesan kepada fasiliti kesihatan.
“Pertama, sudah tentu pemantauan ramalan dan amaran awal. Kita telah beralih daripada pengurusan reaktif kepada sistem jangkaan risiko secara proaktif, dengan peraturan enam bulan itu (dilaksanakan) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Kami kini mewajibkan pemegang pendaftaran produk (PRH) melaporkan kemungkinan kekurangan atau penamatan bekalan ubat sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal. Jadi, perkara itu sangat penting,” katanya dalam program The Nation terbitan Bernama TV bertajuk “Melindungi Bekalan Perubatan dalam Tempoh Ketidaktentuan” hari ini.
Dzulkefly berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi Malaysia untuk mengurangkan kesan gangguan rantaian bekalan, yang mungkin berterusan walaupun selepas krisis Asia Barat berakhir.
Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) mengekalkan strategi memandang ke depan hingga suku pertama 2027 bagi memastikan daya tahan berterusan dalam logistik farmaseutikal negara.
“Di KKM, pandangan kami ialah tekanan sebenar rantaian bekalan lazimnya berlaku sebagai kesan susulan sesuatu krisis, yang berdasarkan simulasi kami boleh berlarutan sekurang-kurangnya enam bulan.
“Oleh itu, persediaan kami adalah berterusan dan tidak bergantung kepada sebarang perubahan geopolitik jangka pendek,” katanya.
Mengenai kesiapsiagaan stok, beliau berkata Malaysia sedang memperkukuh stok penampan melalui sistem berperingkat, dengan bekalan satu hingga tiga bulan di fasiliti kesihatan dan tambahan penampan dua bulan di peringkat konsesi.
Beliau berkata Malaysia sedang mempelbagaikan sumber import ubat-ubatan dan peranti perubatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada hanya satu pasaran, manakala Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memperkenalkan mekanisme tindak balas pantas, termasuk laluan akses khas bagi peralatan kritikal ketika krisis.
Dzulkefly berkata kerajaan mengamalkan pendekatan berasaskan data dalam penyimpanan stok bagi meminimumkan pembaziran, dengan mengambil pengajaran daripada pandemik COVID-19.
“Penyimpanan stok memerlukan pembiayaan yang besar dan ruang gudang. Oleh itu, pendekatan kami adalah berasaskan konsep pintar, strategik dan berhemat.
“Kami tidak akan sekadar mengisi gudang, sebaliknya menggunakan data bagi memastikan kita mempunyai item yang tepat pada masa yang tepat tanpa risiko pembaziran,” katanya.
Beliau berkata rizab hanya akan digunakan dalam keadaan tertentu seperti gangguan bekalan yang ketara, kelewatan operasi dan kecemasan kesihatan awam.
Mengenai strategi jangka panjang, Dzulkefly berkata keadaan global semasa telah mempercepatkan peralihan Malaysia daripada pendekatan dipacu krisis kepada menjadi peneraju serantau yang lebih mampan dan berdikari dalam pembuatan penjagaan kesihatan.
“Kita kini tidak lagi sekadar bertindak balas terhadap gangguan, sebaliknya sedang membina ekosistem bernilai tinggi yang direka untuk daya tahan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata dasar keterjaminan ubat kebangsaan di bawah MyMedSecure menjadi teras dalam memperkukuh keupayaan domestik, termasuk mengurangkan kebergantungan kepada import melalui pengeluaran tempatan bagi bahan farmaseutikal aktif serta produk siap yang kritikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd




