Tradisi pertandingan 80-an kembali diminati

Tradisi pertandingan 80-an kembali diminati

am@hmetro.com.my

Setiu: Tradisi pertandingan bunyi belalang kerek amat terkenal di negara jiran sebelum dibawa masuk ke Kelantan sejak berpuluh tahun lalu dan kini mula ‘merebak’ ke Terengganu.

Penganjur pertandingan belalang, Norazme Mamat, 55, berkata, pertandingan bunyi belalang kerek bukanlah aktiviti baharu dalam kalangan penduduk Pantai Timur.

“Pertandingan bunyi belalang kerek ini sangat popular sekitar tahun 80-an sebelum ia mula ditelan zaman. Bagaimanapun aktiviti ini kembali diminati masyarakat Melayu sejak akhir-akhir ini.

“Pertandingan ini bukan dinilai berdasarkan umur peserta atau jumlah koleksi belalang, sebaliknya juri akan menilai dari segi kelantangan, kejelasan serta tempoh bunyi yang dihasilkan serangga itu,” katanya.

Dia sebelum ini ditemui sempena Pertandingan Belalang Tertutup Terengganu di Kampung Sungai Lerek, Setiu, di sini.

Norazme yang lebih dikenali sebagai Ayoh King menjelaskan, dalam tempoh 60 saat, juri akan merekodkan berapa kali belalang itu ‘berkokok’ dan pertandingan dijalankan sepenuhnya dalam keadaan gelap tanpa cahaya.

“Belalang yang dikategorikan sebagai ‘VIP’ atau pemenang adalah belalang yang mampu mengeluarkan bunyi atau ‘berkokok’ lebih dua kali dalam tempoh masa diberikan.”

Norazme berkata, sambutan pertandingan dianjurkannya baru-baru ini amat luar biasa apabila lebih 700 peserta mengambil bahagian bagi merebut hadiah utama RM1,000 serta piala, selain tarikan cabutan bertuah berupa kambing dan barangan elektrik.

Menurutnya, penjagaan belalang kerek tidak terlalu rumit.

“Ia cuma perlu dimandikan sekitar jam 9 pagi selama dua minit dan dijemur lebih sejam.

“Makanannya pula terdiri daripada sayur-sayuran, tomato, ubi sengkuang, umbut dan nenas,” katanya sambil memberitahu jangka hayat serangga itu sekitar setahun.

Sementara itu, peserta pertandingan, Alias Othman, 58, berkata, pertandingan itu sebagai platform terbaik untuk mengimbas kenangan zaman kanak-kanak selain mengeratkan ukhuwah antara penduduk.

“Aktiviti membabitkan pertandingan ini membolehkan rindu saya terubat. Kenangan zaman kecil dahulu kembali muncul.

“Sebelum ini saya hanya mampu bercerita kepada anak-anak berhubung keseronokan pertandingan ini. Tak sangka kini mereka dapat merasainya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top