Seoul: Seekor serigala yang terlepas dari sebuah zoo di Korea Selatan masih belum ditemukan sehingga semalam, menurut pihak berkuasa.
Kejadian turut memaksa sebuah sekolah tempatan ditutup demi keselamatan ketika operasi pencarian giat dijalankan.
Serigala jantan yang dilahirkan pada 2024 dengan berat kira-kira 30 kilogram (kg) itu dilaporkan terlepas dari sebuah zoo di taman tema, kira-kira 150 kilometer (km) ke selatan Seoul, Rabu lalu. Ia mencetuskan operasi pencarian besar-besaran di kawasan sekitarnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa mengarahkan penutupan sebuah sekolah berhampiran pada Khamis lalu bagi memastikan keselamatan pelajar selepas haiwan itu disahkan masih bebas.
“Sekolah Rendah Daejeon Sanseong ditutup hari ini (Khamis) susulan insiden seekor serigala yang terlepas dari zoo semalam (Rabu),” kata jurucakap Pejabat Pendidikan Metropolitan Daejeon kepada AFP, pada Khamis lalu.
Pegawai dari Ibu Pejabat Bomba Daejeon memaklumkan lebih 300 anggota termasuk pasukan bomba, polis dan tentera digerakkan dalam operasi mencari berkenaan.
Pihak berkuasa turut mengerahkan kamera dron namun terpaksa menariknya semula berikutan hujan berterusan.
Menurut pegawai itu lagi, serigala itu dipercayai melarikan diri selepas menggali tanah dan merosakkan pagar zoo.
Imej yang dikongsi oleh media tempatan menunjukkan haiwan itu berkeliaran di tengah jalan raya. Setakat pagi Sabtu, masih tiada laporan bahawa serigala itu ditangkap semula.
Pada 2023, seekor kuda belang jantan turut mencuri perhatian dunia selepas terlepas dari sebuah zoo di Seoul, dan dilihat berkeliaran di jalanan.
Kuda belang yang dinamakan Sero itu akhirnya berjaya ditangkap di sebuah lorong sempit sebelum diberikan ubat pelali dan dibawa pulang ke kandangnya tanpa sebarang kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



