am@hmetro.com.my
Tanjong Karang: “Tak sangka baru lima minit rakan saya turun jeti untuk melakukan pencarian terus dia menemui jasad mangsa,” kata Mohd Khairul Mohamad Sani.
Mohd Khairul adalah Ketua Jeti Bintara, Kunci Air Batu 6, Kampung Kuantan, Jalan Bestari Jaya, di sini, yang turut menjaga mayat, Rasid Hussain, 73, bagi mengelak daripada dihanyutkan sementara menunggu bantuan tiba.
Pemancing itu dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Selangor sejak Khamis lalu.
Jasad pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Shah Alam itu ditemui pada 8.30 pagi semalam kira-kira 500 meter dari botnya dilaporkan karam.
Berkongsi cerita, Mohd Khairul berkata, bot yang dinaiki mangsa bersama seorang lagi rakan pemancing adalah miliknya.
“Kawan memberitahu bot saya terbalik. Tanpa berlengah, saya terus ke lokasi dan mendapati seorang mangsa sudah berada di darat.
“Saya mencari seorang lagi pemancing di sekitar bot yang hanyut itu sebelum ditarik ke tebing.
“Kemudian, pencarian dilakukan bersama penduduk lain,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Tanjong Karang, di sini, semalam.
Mohd Khairul berkata, penduduk turut melakukan inisiatif mencari mangsa dengan menyelam ke dalam sungai dan menemukan barang miliknya.
Menurutnya, lebih 20 bot digerakkan dalam misi pencarian itu.
“Malam tadi, kami selesai mencari mangsa dan digantikan dengan orang lain. Bila rakan turun (jeti), terjumpa jasad arwah.
“Disebabkan hanya rakan saya seorang sahaja menemukan mayat itu, dia segera menghubungi saya dan kami terus menjaga jenazah bagi mengelak dari dihanyutkan arus sungai,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang pemancing dilaporkan hilang, manakala seorang lagi terselamat selepas bot dinaiki mereka terbalik dan karam ketika dalam perjalanan pulang ke jeti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




