Selangor perlu kekalkan kedudukan naib juara

Selangor perlu kekalkan kedudukan naib juara

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) menyifatkan aksi menentang Sabah FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini sebagai perlawanan paling kritikal.

Tonggak tengah Gergasi Merah, Noor Al Rawabdeh berkata, baki saingan liga perlu dianggap sebagai aksi final, demi memastikan kedudukan kedua Liga Super terus menjadi milik pasukan hingga akhir musim.

Menurut pemain Jordan itu, Selangor tidak boleh lagi mengambil mudah mana-mana perlawanan kerana setiap mata amat berharga dalam misi mempertahankan kedudukan di tangga kedua.

“Perlawanan seterusnya menentang Sabah sangat penting. Bagi kami, setiap perlawanan adalah final. Secara jujur, kami perlu kekalkan kedudukan (nombor dua) dan fokus sepenuhnya kepada perlawanan ini,” katanya.

Al Rawabdeh menjelaskan seluruh pasukan kini bekerja keras bagi menghadiahkan kegembiraan kepada penyokong setia yang sentiasa berdiri teguh di belakang mereka.

Katanya, walaupun musim semakin hampir ke penghujung, masih terdapat beberapa kejohanan yang mampu diburu Selangor, sekali gus membuka peluang menambah koleksi kejuaraan.

“Setiap musim kami cuba buat yang terbaik untuk penyokong. Musim ini belum tamat, masih ada beberapa piala seperti Kejuaraan Kelab ASEAN dan Piala Malaysia, jadi kami masih ada peluang untuk berjuang,” katanya.

Mengulas mengenai masa depannya bersama Selangor, pemain berusia 29 tahun itu memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara berkenaan ketika ini.

Sebaliknya, fokus utamanya adalah membantu pasukan menamatkan musim dengan pencapaian terbaik sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Berkaitan masa depan, kita serahkan kepada Tuhan. Apa yang penting saya mahu membantu pasukan mengakhiri kempen musim ini dengan cemerlang,” katanya yang sudah bersama Selangor sejak 2023.-UTUSAN

Scroll to Top