kartika@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Agrobank akan terus menyediakan bantuan bersasar kepada pelanggan yang terkesan akibat ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk perkembangan di Asia Barat.
Seiring dengan usaha industri, Agrobank mengguna pakai pendekatan tertumpu berasaskan keperluan, termasuk penstrukturan dan penjadualan semula pembiayaan serta khidmat nasihat bagi membantu pelanggan mengurus cabaran kewangan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Agrobank kekal komited dalam menyokong pelanggan khususnya agropreneur dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh mencabar ini.
“Pelanggan yang menghadapi kesukaran digalakkan untuk berhubung lebih awal dengan kami bagi meneroka bantuan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, sebagai institusi kewangan pembangunan, Agrobank akan terus menyokong daya tahan sektor pertanian serta memastikan sekuriti makanan negara, di samping memantau perkembangan semasa dengan teliti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




