3 wartawan Myanmar, 2 aktivis dapat suaka negara ketiga

3 wartawan Myanmar, 2 aktivis dapat suaka negara ketiga

BANGKOK: Tiga wartawan kanan Myanmar serta dua aktivis yang diusir selepas didakwa dan dihukum kerana masuk secara haram ke Thailand, akhirnya diberi suaka oleh negara ketiga yang tidak disebutkan namanya, menurut majikan mereka.

Wartawan yang bekerja untuk agensi berita dalam talian dan penyiaran, Suara Demokrasi Burma (DVB), ditahan bersama dua aktivis yang tidak disebutkan nama, di bandar utara Chiang Mai pada 9 Mei lalu.

Mereka didakwa memasuki negara itu secara haram.

Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pengarang DVB, Aye Chan Naing, berkata kelima-lima mereka sudah meninggalkan Thailand, baru-baru ini, dan kini berada dalam keadaan selamat di negara ‘ketiga’.

“DVB tidak dapat menjelaskan lebih lanjut mengenai negara mana yang menerima mereka, kerana keseluruhan kes itu masih sangat sensitif.

“Lebih banyak maklumat akan dikongsikan apabila keadaan keselamatan mereka mengizinkan,” katanya.

Pada 28 Mei lalu, mahkamah di Chiang Mai menjatuhkan hukuman penjara lima hingga tujuh bulan kerana memasuki Thailand secara haram, namun menangguhkan hukuman itu selama setahun.

Aye Chan Naing mengucapkan terima kasih kepada semua pihak di Thailand dan seluruh dunia yang membantu memastikan keselamatan mereka.

“Ketika ini, mereka masih dalam fasa pemulihan tetapi akan meneruskan tugas untuk DVB dalam waktu terdekat,” katanya.

Meskipun lesennya telah dibatalkan pada 8 Mac lalu, DVB terus melapor dan menyiarkan kemas kini dalam halaman Facebooknya mengenai protes serta tindakan keras di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera pada Februari lalu, termasuk protes berdarah antikudeta.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan pemimpin Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu yang mencetuskan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Sekurang-kurang 857 orang telah dibunuh oleh pasukan keselamatan dan lebih 5,800 individu ditangkap sejak rampasan kuasa tentera, menurut kumpulan penyokong Persatuan Bantuan Tahanan Politik (AAPP). – BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top