Suami kepada pelakon Julia Farhana iaitu Dr Che Hafiz tampil menjernihkan keadaan apabila menafikan dakwaan kononnya rumah tangga mereka sedang bergolak.
Hafiz atau nama penuhnya Che Muhammad Hafiz Che Baharom menegaskan hubungan mereka masih utuh dan berada dalam keadaan baik.
“Saya sendiri tak pasti bagaimana spekulasi ini boleh timbul. Saya dan Julia baik-baik sahaja.
“Biasalah dalam rumah tangga memang ada pasang surut. Itu perkara biasa dan semua pasangan pasti melaluinya.
“Apa pun, kami baik-baik sahaja. Saya harap orang ramai doakan yang terbaik untuk kami,” katanya.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka ASIA di Studio 38, Petaling Jaya, pada Sabtu.
Menjawab persoalan mengenai dakwaan mereka tidak beraya bersama, Hafiz menjelaskan perkara itu tidak benar, sebaliknya mereka memilih untuk tidak berkongsi segalanya di media sosial.
“Kami tetap beraya bersama, cuma tak kongsi gambar. Saya tak mahu ulas lebih lanjut.
“Bila timbul spekulasi, kita perlukan ruang untuk bertenang. Dalam masa sama, kita tak boleh halang apa orang nak fikir.
“Itu lumrah. Apa sahaja yang berlaku pasti ada cerita yang timbul. Nak puaskan hati semua orang memang tak mampu,” jelasnya.
Mengulas reaksi terhadap dakwaan yang tular, Hafiz mengambil pendekatan lebih matang dengan melihatnya dari sudut positif.
“Apa sahaja kita buat ada baik dan buruknya. Kalau saya ketawa, nanti orang kata macam meremehkan pula. Jadi lebih baik saya ambil perkara ini secara positif,” katanya.
Terdahulu, rumah tangga pasangan ini menjadi perhatian apabila mereka tidak berkongsi foto bersama sempena Aidilfitri di media sosial.
Sebaliknya, Hafiz hanya memuat naik momen bersama ibunya sebelum berlepas ke Kota Bharu, Kelantan.
Malah, pemerhatian netizen mendapati Julia Farhana dan Dr Che Hafiz didakwa sudah tidak lagi saling mengikuti di Instagram, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi.
Sekadar info, Julia mendirikan rumah tangga bersama Dr Che Muhammad Hafiz pada 14 Disember 2022.
Dr Che Hafiz sebelum itu pernah berkahwin dengan aktres Lufya pada 26 November 2016 dan memiliki seorang anak perempuan iaitu Laana Haura, 8. Namun mereka bercerai pada 17 Jun 2020.




