Penduduk mahu tangki baharu

Penduduk mahu tangki baharu

Selama: Lebih 50 rumah di Kampung Batu 6 dan Batu 7, Bukit Bertam di sini menggesa pihak berkaitan membina sebuah tangki air baharu bagi mengatasi masalah bekalan air yang didakwa berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 6 dan Batu 7 Bukit Bertam, Ramli Ahmad, 64, berkata, masalah tekanan air rendah dan gangguan bekalan yang kerap berlaku terus membelenggu kehidupan harian penduduk setempat.

Menurutnya, pelbagai aduan sudah dikemukakan kepada pihak berkaitan melalui surat, emel dan saluran aduan rasmi, namun sehingga kini masalah berkenaan tiada jalan penyelesaian.

“Penduduk sudah terlalu lama berdepan masalah ini.

“Jumlah penduduk semakin bertambah dan pembangunan infrastruktur di kawasan ini juga semakin pesat, namun kemudahan asas seperti bekalan air masih berada pada tahap yang membimbangkan.

“Kami berharap kerajaan negeri serta agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan menyediakan kemudahan tangki air yang lebih sesuai bagi menampung peningkatan jumlah penduduk dan permintaan bekalan air di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih sukar setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan, apabila bekalan air sering terputus serta tekanan air menjadi terlalu rendah sehingga menjejaskan urusan harian penduduk.

“Ada ketika penduduk langsung tidak dapat bekalan air. Kalau ada pun, pada lewat malam dengan tekanan yang rendah lepas itu, kembali perlahan.. itupun kalau ada air.

“Sekarang, sebulan berapa kerap, lebih seminggu kami berdepan masalah bekalan air dan keadaan ini menimbulkan pelbagai masalah.

“Saya terpaksa keluarkan kos tambahan untuk membeli air mineral dan mendapatkan bekalan air daripada sumber lain untuk kegunaan harian,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkaitan supaya turun padang meninjau sendiri keadaan sebenar yang dialami serta mengambil langkah segera bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Katanya, pembinaan tangki air baharu dilihat sebagai jalan penyelesaian jangka panjang yang mampu meningkatkan kapasiti bekalan air dan memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

“Bekalan air bersih adalah keperluan asas rakyat.

“Kami berharap suara dan keluhan penduduk di pandang serius supaya masalah yang berlarutan sekian lama ini dapat diselesaikan demi kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Seorang pengusaha bengkel motosikal, Mohd Aidil Haiqal Che Ros 26, berkata masalah bekalan air yang berlarutan turut menjejaskan operasi perniagaannya.

Menurutnya, bekalan air amat diperlukan untuk kerja pembersihan komponen motosikal dan kegunaan harian di bengkel.

“Memang susah bila tiada air, kadang-kadang nak basuh alat ganti dan peralatan bengkel pun menjadi masalah.

“Air sangat penting dalam urusan kerja kami setiap hari,” katanya.

Katanya, ketika gangguan bekalan berlaku, mereka terpaksa bergantung kepada air yang disimpan di dalam tong dan air hujan yang ditadah bagi meneruskan operasi.

“Kalau ada air dalam tong, itu pun sekadar cukup-cukup saja, kadang-kadang kami terpaksa menadah air hujan untuk digunakan.

“Kami berharap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera kerana masalah ini kerap berlaku ini memberi kesan kepada kehidupan serta sumber pendapatan penduduk,” katanya

Sementara itu, seorang suri rumah Abidah Mat Daud 45, berkata, masalah tiada bekalan air bersih menyebabkan mereka terpaksa mencatu penggunaan air yang disimpan bagi memastikan keperluan asas dapat diteruskan.

“Memang susah sangat, air yang ada pun tidak cukup untuk kegunaan sekeluarga.

“Nak mandi, nak masak, membasuh dan nak urus anak-anak menjadi sukar.

“Kami sekeluarga terpaksa berjimat dan mencatu penggunaan air setiap hari, selain terpaksa membeli air tambahan untuk kegunaan tertentu,” katanya.

Beliau berkata, mereka merayu supaya masalah ini diberi perhatian serius kerana sudah terlalu lama berdepan gangguan bekalan air yang tiada jalan penyelesaian sehingga kini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top