Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang – Dr. Ahmad Samsuri

Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang – Dr. Ahmad Samsuri

MUAR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin bukan lagi Ketua Pembangkang selepas beliau menghantar surat peletakan jawatan berkenaan, semalam.

Menteri Besar Terengganu itu turut memberitahu, pihaknya telah mengarahkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menghantar surat pemakluman kekosongan jawatan itu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Sebagaimana aturan yang perlu dilakukan, saya sudah arahkan Setiausaha Agung PN untuk tulis surat pemakluman kekosongan jawatan Ketua Pembangkang buat masa ini, esok kerana hari ini cuti.

“Bila surat berlaku kekosongan sudah dihantar, bermakna Datuk Seri Hamzah bukan lagi Ketua Pembangkang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, di sini hari ini.

Mengulas berhubung calon Ketua Pembangkang yang baharu, Ahmad Samsuri berkata jawatan berkenaan akan diisi sebelum sesi sidang Dewan Rakyat akan datang pada Jun ini.

“Kita boleh gerak dengan pelbagai cara, sekarang pun bukan waktu bersidang Dewan Rakyat, jadi kita bergerak atas kapasiti parti-parti sedia ada bawah PN. Ini strategi tertentu kita, tetapi bila nak masuk sidang Dewan Rakyat berikutnya kita akan ada Ketua Pembangkang baharu.

“Jika ditanya 10 orang soalan siapakah calon sesuai menjawat jawatan tersebut, akan dapat 10 jawapan berbeza-beza. Biasalah masing-masing ada hasrat disuarakan kepada kepimpinan, jadi kita akan dengar dan bincang, tengok bagaimana,” katanya lanjut.

Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed dilaporkan berharap jawatan berkenaan disandang pemimpin daripada parti tersebut susulan penyandang terdahulu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Beliau dilaporkan berkata, adalah munasabah untuk jawatan tersebut disandang individu daripada PAS apabila majoriti Ahli Parlimen pembangkang ketika ini datang daripada parti berkenaan, dan bukan sebaliknya.

“Sebelum ini jawatan itu sudah dipegang Ahli Parlimen Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin), jadi sekarang kita rasa dah sampai masa untuk PAS jadi ketua pembangkang. Keputusan juga oleh Ahli Parlimen, jumlah Ahli Parlimen parlimen pembangkang paling ramai daripada PAS, maka itu yang munasabah,” katanya.

PESURUHJAYA PAS Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed (kiri) menyambut ketibaan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Negeri Johor di Bukit Pasir, Pagoh, Muar.

Scroll to Top