Blok akademik, asrama pelajar SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah terbakar

Blok akademik, asrama pelajar SMU (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah terbakar

Bachok: Tiga blok bangunan Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Kampung Kolam, Pak Badol, di sini terbakar hari ini.

Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Mohd Khairul Fais Ariffin berkata kebakaran terbabit melibatkan bangunan jenis kekal yang mempunyai keluasan berbeza dengan satu daripadanya musnah 98 peratus.

“Dua lagi bangunan masing-masing terbakar 80 dan 30 peratus namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.37 petang sebelum jentera tiba di lokasi pada 3.56 petang dengan jarak kira-kira 12 kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman turut dibantu BBP Ketereh, BBP Pasir Tumboh serta Unit Tangki BBP Pengkalan Chepa dengan kekuatan 25 anggota, selain menggunakan dua aliran hos dan empat pancutan nozel serta sumber air daripada tangki jentera dan bekalan air.

Mohd Khairul Fais berkata, api berjaya dikawal pada 4.10 petang dan operasi pemadaman masih diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.

Sementara itu, pengetua sekolah, Ahmad Norisham Ab Halim berkata, kejadian itu berlaku ketika pelajar mengikuti aktiviti di luar termasuk solat dan waktu makan.

“Sebaik sahaja kebakaran disedari, kesemua pelajar diarahkan berkumpul di padang sekolah sebagai langkah keselamatan.

“Buat masa ini, pihak sekolah mengambil keputusan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hingga Khamis ini,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Ahmad Norisham berkata, sekolah yang ditubuhkan pada 1990 itu menempatkan keseluruhan 251 pelajar dengan 112 daripadanya tinggal di asrama.

Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah mengambil tindakan segera bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah terpelihara.

“Kebakaran telah mengakibatkan kerosakan blok akademik yang menempatkan bilik darjah dan bilik penyelia asrama serta asrama pelajar lelaki.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden ini. Semua pelajar, guru dan anggota kumpulan pelaksana di sekolah berkenaan telah dipindahkan ke kawasan selamat,” menurut kenyataan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top