am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya sebagai ibu saudara yang juga penjaga utama arwah sejak lima tahun lalu, sedia memaafkan. Namun bagi pihak bapa arwah dan ahli keluarga yang lain, saya serahkan sepenuhnya kepada mereka,” kata Zuraifah Noor, 43.
Zuraifah adalah ibu saudara kepada Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, yang maut selepas dirempuh kereta di kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas, dekat Pengkalan Chepa tengah hari semalam.
Katanya, pihak keluarga masih dalam keadaan terkejut dengan insiden yang berlaku dan belum bersedia untuk memikirkan sebarang tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak.
“Setakat ini, keluarga tidak bercadang mengambil tindakan sendiri kerana tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
“Kejadian ini masih baharu, kami tidak dapat berfikir dengan jelas. Buat masa ini, kami hanya mengikut perkembangan yang berlaku dan menyerahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak polis serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika ditemui di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa, hari ini.
Katanya, jika difikir secara logik, kejadian yang berlaku memang tidak masuk akal kerana di tempat yang tidak sepatutnya ada kereta, tiba-tiba berlaku kemalangan.
“Tapi kita percaya ini semua ketentuan Allah SWT.
“Kita manusia, tiada siapa yang mahu melanggar orang dengan sengaja. Apa yang berlaku di luar jangka,” katanya.
Dalam masa sama, Zuraifah turut berkongsi dia sempat bertemu dengan ahli keluarga guru yang melanggar anak saudaranya ketika masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) petang semalam.
“Masa jumpa, saya nak kata marah pun tidak. Perasaan itu kosong. Kami hanya bersalam, tetapi tidak mampu bercakap panjang,” katanya.
Katanya, bagaimanapun buat masa ini ahli keluarga guru itu tidak dibenarkan berkunjung ke rumah kerana bimbang keadaan emosi ahli keluarga mangsa.
“Saya mungkin boleh memaafkan tetapi ahli keluarga lain saya tidak pasti. Jadi buat masa sekarang, kami minta jangan datang dahulu,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut manakala seorang lagi parah selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu seorang wanita di hadapan surau sekolah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata, kejadian jam 1.50 tengah hari itu membabitkan seorang pemandu kereta dan mangsa adalah dua pelajar perempuan.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu wanita dipercayai tertekan pedal minyak sebelum terbabas dan melanggar dua pelajar.
Akibat kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala seorang lagi parah dan menerima rawatan di hospital.
© New Straits Times Press (M) Bhd




