zaky@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Nestcon Bhd yang bakal menjadi syarikat terkini disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dijangka menjana RM45.1 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).
Syarikat penyedia perkhidmatan pembinaan bangunan dan infrastruktur itu dijangka disenaraikan pada 29 Jun ini.
Pengarah Urusan Kumpulan Nestcon, Datuk Ir Dr Lim Jee Gin, berkata syarikat itu merancang untuk menggunakan dana yang diraih daripada IPO untuk meningkatkan keupayaan syarikat, pembayaran balik pinjaman dan tujuan penyenaraian.
“Nestcon merancang untuk menggunakan RM6 juta bagi mewujudkan kemudahan sistem binaan berindustri (IBS) bagi segmen bangunan, manakala RM6.6 juta lagi untuk membeli mesin dan peralatan bagi mengembangkan perniagaan dalam segmen infrastruktur dan kejuruteraan sivil.
“Sejumlah RM1 juta akan digunakan untuk menaiktaraf sistem dan perisian, manakala RM16.5 juta untuk tujuan pembayaran balik pinjaman dan baki RM4.0 juta lagi untuk menampung perbelanjaan penyenaraian.
“Selepas disenaraikan di Pasaran ACE, Nestcon dijangka memiliki pemodalan pasaran sebanyak RM180.27 juta berdasarkan harga terbitan 28 sen sesaham dan jumlah terbitan diperbesarkan berjumlah 643.8 juta saham,” katanya pada sidang media pelancaran prospektus Nestcon secara maya, hari ini.
Nestcon turut melantik M&A Securities Sdn Bhd sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan, sementara Eco Asia Capital Advisory Sdn Bhd sebagai penasihat kewangan bagi IPO syarikat.
IPO Nestcon membabitkan terbitan sebanyak 161 juta saham baharu, 32.2 juta saham baharu untuk rakyat Malaysia, serta 32.2 juta saham baharu untuk pengarah, pekerja yang layak dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Tawaran saham Nestcon juga memperuntukkan 80.5 juta saham baharu menerusi penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), sejumlah 16.1 juta saham baharu menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan tawaran jualan 32.2 juta saham sedia ada melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Jee Gin berkata, Nestcon yang beroperasi sejak 2010 memiliki 29 kontrak lengkap berjumlah RM981 juta menerusi segmen bangunan dan infrastrukturnya.
“Buat masa ini, syarikat memiliki 22 kontrak yang sedang dilaksanakan bernilai kira-kira RM1.9 bilion, yang mana RM1.2 bilion belum dibil mewakili 4.13 kali dari purata pendapatan empat tahun berjumlah RM293.97 juta.
“Kumpulan menjangkakan bahagian belum dibil akan terus menyumbang kepada prestasi kewangan positif sehingga 2023,” katanya.
Beberapa projek yang sedang dibangunkan termasuk Scarletz Suites, Mossaz dan Paxtonz milik EXSIM Group; Panorama Residences milik LLC Bhd; Embayu @ Damansara West oleh Premier Baycity Sdn Bhd; Kuchai Sentral milik Menta Land Sdn Bhd; satu seksyen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan tiga seksyen bagi projek keretapi di Johor.
© New Straits Times Press (M) Bhd




