Dua kapal India diserang ketika melintasi Selat Hormuz

Dua kapal India diserang ketika melintasi Selat Hormuz

TEHERAN – Iran menarik balik keputusannya untuk membuka semula Selat Hormuz dan melepaskan tembakan ke arah kapal tangki yang cuba melalui laluan itu pada Sabtu (18 April).

Iran turut memberi amaran bahawa ia akan terus menghalang pergerakan kapal melalui selat berkenaan selagi sekatan AS terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran masih diteruskan.

Pemerintah tentera bersama Iran pada Sabtu berkata, “kawalan ke atas Selat Hormuz telah kembali kepada keadaan asalnya … di bawah pengurusan dan kawalan ketat angkatan tentera.”

Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UK Maritime Trade Operations) milik tentera Britain menyatakan bahawa dua bot bersenjata milik Pengawal Revolusi Iran (IRGC) telah melepaskan tembakan ke arah sebuah kapal tangki yang sedang melalui Selat Hormuz.

Laporan TankerTrackers.com pula menyatakan, beberapa buah kapal dipaksa berpatah balik di selat itu, termasuk sebuah kapal tangki gergasi berbendera India, selepas ditembak oleh pasukan Iran.

Kementerian Hal Ehwal Luar India dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa dua buah kapal berbendera India yang membawa minyak mentah telah diserang ketika cuba melintasi selat berkenaan.

India berkata, pihaknya telah memanggil wakil diplomatik Iran di New Delhi dan menyuarakan “kebimbangan mendalam” berhubung serangan terhadap dua kapal berbendera India itu.

‘Kapal yang melanggar akan menjadi sasaran’

Iran menganggap sekatan AS terhadap pelabuhannya sebagai pelanggaran perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua negara.

Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran pada Sabtu memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai sasaran.

“Kami memberi amaran bahawa tiada sebuah kapal pun, tanpa mengira jenis, dibenarkan meninggalkan tempat berlabuh di Teluk Parsi dan Laut Oman. 

“Sebarang cubaan untuk menghampiri Selat Hormuz akan dianggap sebagai kerjasama dengan pihak musuh, dan kapal yang melanggar arahan ini akan disasarkan,” menurut kenyataan yang disiarkan di laman berita rasmi IRGC, Sepah News.

Kekeliruan berkaitan laluan maritim kritikal ini dijangka memburukkan lagi krisis tenaga yang sedang menggoncang ekonomi global, selain meningkatkan risiko konflik baharu antara Iran dan Amerika Syarikat, walaupun para pengantara menyatakan keyakinan bahawa satu perjanjian baharu masih boleh dicapai.

Perkembangan pada Sabtu itu berlaku selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan bahawa sekatan ke atas pelabuhan Iran “akan kekal dikuatkuasakan sepenuhnya” sehingga Teheran mencapai perjanjian dengan Washington yang merangkumi program nuklearnya.

Teheran sebelum ini telah membuka semula Selat Hormuz kepada kapal komersial pada Jumaat.

Kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz, dan sebarang sekatan lanjut dijangka menjejaskan bekalan yang sedia terhad, sekali gus mendorong harga minyak meningkat semula.

Walaupun berlaku peningkatan ketegangan, pegawai Pakistan berkata, Amerika Syarikat dan Iran masih menghampiri satu perjanjian, menjelang tarikh akhir gencatan senjata pada 22 April.

Pertempuran setakat ini telah mengorbankan sekurang-kurangnya 3,000 orang di Iran, hampir 2,300 di Lubnan, 23 di Israel, dan lebih sedozen di negara-negara Arab Teluk.

Seramai 13 anggota tentera Amerika Syarikat turut terbunuh. – Awani

Scroll to Top